Pendakwaan terhadap Pengerusi NFCorp merupakan satu rekaan untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu sebenar yang lebih penting.
Pendakwaan terhadap Pengerusi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail di mahkamah dilihat sebagai satu taktik Barisan Nasional (BN) untuk melepaskan diri dari bahang kepanasan skandal NFC.
Salleh ialah suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta ketua wanita Umno Malaysia.
Taktik yang serupa telah digunakan BN bagi membebaskan diri dari skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), yang kini menjadi ‘bandar berhantu’ dan skandal rasuah melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.
Taktik ini dikenali sebagai taktik “umpan dan senyap”, satu taktik yang ternyata berjaya untuk BN membebaskan diri dari perangkap skandal.
Dalam erti kata lain, satu rekaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu sebenar yang lebih penting dan menggunakan keputusan mahkamah sebagai pelindung dari serangan-serangan musuh atas alasan “subjudice” (mendahului keputusan mahkamah).
Taktik ini juga digunakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tuduhan terhadap Salleh di Parlimen kelmarin.
Speaker menggunakan alasan bahawa kes ini sedang berjalan di mahkamah bagi menolak usul tergempar berhubung skandal NFCorp yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Pandikar menolak usul ini walaupun Zuraida menjelaskan bahawa isu-isu yang beliau bangkitkan ada kaitan dengan kementerian- kementerian yang meluluskan projek itu dan bukan berhubung salah laku Salleh, yang menjadi subjek kes mahkamah.
Dan pada hari yang sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, yang bertanggungjawab dengan projek ini juga menepis kes ini dengan alasan “subjudice”.
Sementara Ahli Parlimen Barisan Nasional Dato’ Abdul Rahman Dahlan pula mendakwa mahkamah merupakan platform terbaik untuk menangani isu-isu dan menambah, pihak yang sepatutnya menjawab soalan-soalan ini ialah NFCorp sendiri, dan bukannya kementerian- kementerian berkenaan.
BN bernafas lega?
Secara dasarnya, BN mengira apabila Salleh berada dalam kandang orang salah, kerajaan BN boleh bernafas lega.
Jadi apa jenis tuduhan yang dihadapi Salleh? Beliau didakwa menyalah guna sebahagian dari pinjaman mudah yang diluluskan untuk industri pengeluaran daging lembu.
Kenapa rakyat begitu marah? Mereka marah kerana dakwaan rasuah berlaku di kalangan pemimpin tertinggi BN yang menyebabkan bukan sahaja wang rakyat sebanyak RM250 juta dan geran RM13 juta lesap tetapi skim pengeluaran makanan terbantut.
Jadi siapa yang sebenar petualang yang lebih besar, penjaga dana awam dan penerima dana awam? Para pemimpin yang dipilih rakyat dan memegang amanah rakyat yang sepatutnya mengurus sumber kewangan negara dengan jujur dan berhemah atau pemaju projek yang telah gagal?
Sudah jelas bahawa tumpuan siasatan harus kepada mereka yang memegang amanah rakyat untuk mengurus dana awam dan sumber kewangan negara.
Rakyat ingin tahu kenapa dan bagaimana pihak yang tidak kompeten dalam bidang industri ini diberi kontrak ini. Memandangkan pihak yang menerima projek ini adalah ahli keluarga seorang menteri kabinet, rakyat juga ingin tahu sama ada wujud unsur-unsur rasuah?
Dalam hubungan ini, kenapa dua pemimpin tertinggi BN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang membuat keputusan tidak disiasat sedangkan merekalah yang meluluskan projek ini.
Bolehkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjawab soalan ini? Bolehkah SPRM terangkan setakat mana hasil siasatan yang telah dijalankan sejak hampir empat bulan lalu?
Jawapan mudah seperti ‘kes ini sedang disiasat, tidak boleh memberi maklumat untuk mengelak terjejasnya siasatan’ tidak memadai.
Empat bulan adalah terlalu lama untuk memberi alasan yang remeh.
Malahan, jawapan-jawapan seperti ini adalah merupakan jawapan yang biasa kita dengar bagi menutup sikap ingin tahu rakyat berhubung skandal berprofil tinggi ini. Jika SPRM masih mahu memberi jawapan sedemikian maka maaf kita tidak dapat menerimanya.
Bolehkah BN terlepas bebas kali ini?
Berhubung kes mahkamah itu, kita tidak menaruh harapan dan menjangkan sesuatu yang bermakna jika berdasarkan kes-kes yang serupa melibatkan golongan elit BN pada masa lampau.
Salleh didakwa memindah dana dari NFCorp kepada sebuah syarikat lain, National Meat and Livestock Corporation (NMLC) untuk membeli aset-aset yang tidak ada kaitan dengan projek lembu.
Memandangkan kedua-dua syarikat ini dimiliki keluarga Shahrizat, selain dari kerajaan memegang saham emas (golden share) dalam NFCorp, pemindahan dana itu tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk penyelewengan yang serius.
Tetapi yang menjadi isu di sini ialah mengenai pembelian aset-aset yang jelas melanggar perjanjian pinjaman tersebut. Tetapi Salleh tidak didakwa di atas kesalahan ini.
Tidak sukar untuk kita melihat sandiwara yang ditayangkan dengan begitu baik oleh BN dengan melibatkan SPRM, polis dan Peguam Negara untuk membebaskan BN dari kemelut ini memandangkan tarikh pilihan raya umum semakin hampir.
Berjayakah BN membebaskan diri dalam plot kali ini di tengah-tengah asakan Pakatan Rakyat serta kebangkitan badan bukan kerajaan dan badan hak asasi manusia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan