Ahad, 8 Ogos 2010

"Tunjukkan laporan EIA Empangan Murum" – Alung


penan_250_220 Oleh Joseph Tawie

BINTULU: Kira-kira 1,000 orang masyarakat Penan dari enam kampung di lembah sungai Murum berada dalam dilema tentang masa depan mereka kerana pihak berkuasa berpendapat tidak perlu memberitahu mereka tentang laporan kesan penilaian sosial dan persekitaran (EIA) Empangan Murum.

"Kami desak untuk melihat dan meneliti laporan EIA Empangan Murum terlebih dahulu sebelum laporan itu diluluskan," kata Surang Alung, pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Pelieran-Murum.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, komuniti Penan menerima kunjungan daripada berbagai pihak yang mendakwa membuat kajian berhubung projek Empangan Murum.

"Setiap kali mereka datang, kami diberitahu kerajaan telah menjalankan kajian EIA untuk mengenalpasti kesannya terhadap masyarakat kami.

"Tapi sehingga sekarang kami tidak pasti tahap kemajuan yang sebenar, sama ada kajian, laporan EIA dan lain-lain laporan berkaitan telah pun siap dan bersedia untuk diteliti oleh orang ramai," kata Alung.

Beliau menggesa kerajaan negeri, terutama Lembaga Persekitaran dan Sumber Alam (NERB), supaya memberitahu mereka, tanpa melengahkan masa lagi.

"Oleh sebab empangan itu memberi kesan kepada budaya dan kehidupan kami, pendapat dan maklum balas daripada kami tentang laporan itu harus diambil kira dengan serius," katanya, menambah, sehingga ini komuniti itu tidak tahu di mana mereka akan dipindahkan.

Rancangan pembangunan khusus

Kerajaan katanya, harus menerang dan menjelaskan kepada mereka mengenai rancangan pembangunan yang khusus yang berkaitan dengan program penempatan semula termasuk sumber pendapatan dan masa depan mereka.

Alung berkata, "selain dari laporan EIA itu, kami juga meminta kerajaan supaya memberitahu kami mengenai rancangan untuk kawasan penempatan semula untuk kami."

Masalah penempatan semula

Beliau juga berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan tentang cadangan penempatan semula di Metalon di hulu Sungai Pelieran.

Bagaimanapun, pada masa ini, syarikat Shin Yang hanya selesai membersihkan kawasan penempatan semula itu untuk pembukaan ladang kelapa sawit.

Jika Shin Yang dibenarkan menumbang pokok-pokok dan mencerahkan hutan di kawasan itu maka tidak ada lagi hutan yang tinggal untuk masyarakat kami mencari sumber pendapatan.

"Oleh itu, maka sia-sialah matlamat penempatan semula di kawasan yang dicadangkan itu, jika ia dimajukan dengan tanaman kelapa sawit. Ini menjadi mala petaka berganda bagi kami," tambah beliau.

Empangan Murum yang menelan belanja sebanyak RM3 bilion itu, apabila siap kelak, dijangka menghilangkan enam kampung masyarakat Penan iaitu Long Way, Long Luar, Long Tangau, Long Menapa, Long Singu dan Long Malim dan sebuah kampung masyarakat Kenyah, Long Uba.

Tiada ulasan: