Khamis, 12 Ogos 2010

Terengganu lancar Kempen Nafas Baru atasi tabiat merokok

BERNAMA

KUALA TERENGGANU — Jabatan Kesihatan Terengganu melancarkan kempen “Nafas Baru Bermula Ramadan” khusus bagi membantu kalangan perokok menghentikan tabiat merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata menerusi kempen ini satu ruang gerai atau kaunter khas disediakan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri sepanjang Ramadan untuk memberi maklumat mengenai usaha mengatasi tabiat merokok kepada orang ramai.

“Perokok atau sesiapa sahaja yang mempunyai anggota keluarga yang merokok dan memerlukan maklumat untuk berhenti merokok boleh mendapatkan maklumat di situ atau mengunjungi klinik berhenti merokok, di klinik-klinik berhampiran,” katanya.

Beliau kempen itu dilaksanakan pada bulan Ramadan kerana ia merupakan tempoh masa yang terbaik untuk memulakan niat atau hasrat bagi perokok menghentikan tabiat merokok, kerana menurutnya peluang untuk berjaya dalam usaha berhenti merokok adalah lebih tinggi dalam tempoh ini.

Sementara itu Abdul Rahman mengingatkan peniaga-peniaga di bazar Ramadan supaya mementingkan kebersihan dan mengelak daripada menjual makanan yang “dikitar semula” untuk mengelak masalah keracunan.

Katanya pemeriksaan yang dijalankan pada bulan Ramdan tahun lepas mendapati banyak makanan yang dijual oleh para peniaga dicemari bakteria selain mudah basi.

Tiada ulasan: