Isnin, 30 Ogos 2010

Sambutan Merdeka tetap diteruskan walau diancam Bendera

FREE MALAYSIA TODAY


merdeka JAKARTA: Penuntut Malaysia di Indonesia akan tetap menghadiri upacara menaikkan bendera di Kedutaan Malaysia di republik itu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, walaupun terdapat tunjuk perasaan oleh rakyat Indonesia di kedutaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata bagaimanapun minggu orientasi dan segala program berkumpulan dibatalkan buat sementara waktu.

“Demonstrasi yang diadakan setiap hari Jumaat kini sudah dihentikan, namun kita tetap tidak menggalakkan pelajar kita untuk keluar ke kawasan umum dan meminta mereka bergerak secara berkumpulan.

“Esok (hari ini) pelajar kita akan bersama dengan rakyat Malaysia di Jakarta menyertai upacara menaikkan bendera sempena kemerdekaan negara di kedutaan kita di sini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) akan mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sambil mengancam untuk ‘memberikan hadiah istimewa’ sempena ulang tahun kemerdekaan ke-53 Malaysia, esok.

Memetik kenyataan dalam Berita Harian Online, koordinator Bendera, Mustar Bona Ventura Manurung yang dihubungi mendakwa ‘hadiah istimewa’ itu sebagai tindak balas terhadap keengganan Malaysia memohon maaf seperti dituntut kumpulan terbabit berhubung beberapa isu membabitkan kedua-dua negara.

“Kita (Bendera) akan beri ‘hadiah istimewa’ di Kedutaan Malaysia pada 31 Ogos ini. Saya tidak boleh beritahu apa hadiahnya kerana nanti tidak ‘surprise’… mungkin juga (melontar najis),” katanya semalam.

Mustar Bona berkata, kumpulan terbabit tidak akan berhenti daripada terus membuat demonstrasi dan tunjuk perasaan terhadap Malaysia selagi kerajaan negara ini tidak memohon maaf secara terbuka terhadap republik berkenaan.

Malah, katanya, tunjuk perasaan oleh anggota Bendera akan turut mensasarkan syarikat Malaysia di Indonesia bagi memberi lebih tekanan terhadap kerajaan Malaysia berhubung desakan kumpulan berkenaan.

“Kita tidak akan berhenti (mengadakan demonstrasi) kerana sehingga kini tiada maklum balas berhubung desakan Bendera supaya Malaysia memohon maaf,” katanya.

Sejak seminggu lalu, beberapa siri bantahan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan kemuncaknya pada Isnin lalu apabila penunjuk perasaan melontar najis serta membakar Jalur Gemilang.

Ia dipercayai berkaitan dengan penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malay sia baru-baru ini.

Ditanya kenapa isu itu tidak diselesaikan dengan cara lebih sopan dan berdiplomasi termasuk melalui perbincangan, Mustar Bona mendakwa, Bendera sudah beberapa kali cuba menggunakan saluran secara rundingan tetapi tidak mendapat maklum balas Malaysia.

“Kita bukan anti Malaysia… tetapi kita marah, kecewa dan muak dengan sikap serta layanan yang diberikan Malaysia terhadap rakyat Indonesia dalam pelbagai perkara dan isu,” katanya.

Tiada ulasan: