Isnin, 2 Ogos 2010

Projek RMK-9 lewat siap diberi tempoh lanjutan

BERITA HARIAN ONLINE

JITRA: Semua projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang terbengkalai akibat masalah pengurusan kewangan, akan diberi tempoh lanjutan untuk disiapkan sebelum penghujung tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata projek terbengkalai itu perlu disiapkan segera kerana kebanyakannya memberi impak besar terhadap pembangunan kawasan terbabit, sekali gus memberi faedah kepada rakyat.

Beliau berkata, setakat ini lebih 70 peratus daripada projek dalam RMK-9 sudah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, manakala kebanyakan projek terbengkalai pula mencapai 70 peratus siap serta dijangka dapat diselesaikan tahun depan.

“Masalah utama yang dihadapi banyak pemaju adalah berkaitan pengurusan kewangan.

“Justeru kita rasakan perlu bagi mereka menjalani kursus berkaitan pengurusan sebelum diberi tanggungjawab besar ini.

“Bagi projek terbengkalai pula, kita sudah membuka semula tender untuk membolehkan kontraktor baru mengambil alih projek berkenaan dan kita menetapkan supaya ia disiapkan segera sebelum penghujung tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek terbengkalai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) selepas diberi taklimat projek terbengkalai RMK-9 di sini, semalam.

Nor Mohamed berkata, bagi projek IKBN Jitra itu, pihaknya menetapkan supaya ia disiapkan sebelum Jun 2011 berikutan keperluan untuk menambah baik keselesaan dan kualiti latihannya.

Tiada ulasan: