Rabu, 18 Ogos 2010

Peguam SPRM pertikai kredibiliti Dr Pornthip


dr-porntip-oct21

Oleh Fazy Sahir

SHAH ALAM: Suasana agak kecoh di Mahkamah Koroner di sini hari ini apabila pendakwaraya, Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempersoalkan kredibiliti Dr Pornthip Rojanasunand sebagai pakar pathologi.

Razak yang berhujah di depan koroner Azmil Muntapha Abas dalam inkues kematian Teoh Beng Hock berkata bahawa "kenyataan Dr Pornthip adalah berdasarkan imaginasinya semata-mata.

"Oleh itu, beliau tidak layak digelar pakar kerana universiti tempat beliau belajar tidak diiktiraf di Malaysia," katanya.

Sambil menolak dakwaan itu, pakar pathologi dari Thailand itu menjelaskan bahawa universiti tempat beliau belajar adalah salah satu dari lima universiti terbaik di negaranya, disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh menyifatkan hujah Razak bukan satu isu.

"Namun yang penting dalam kes ini ialah penegasan Dr Pornthip bahawa kes ni bukan bunuh diri dan sama ada koroner Azmil menerima kenyataan ini atau tidak, akan kita hadapi kemudian," jelas beliau.

Beliau berkata, "pendirian tegas Dr Pornthip sejak dari awal bahawa Teoh mengalami kecederaan sebelum jatuh dan beliau pasti Teoh bukan bunuh diri, inilah yang penting.

"Kes ini tertangguh supaya kami dapat mengumpul lebih banyak maklumat daripada pakar-pakar sepertimana yang dicadangkan oleh Peguam Negara," katanya.

Dr Pornthip yang dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor sepatutnya datang memberi keterangan pada bulan April tetapi enggan berbuat demikian selepas majikannya, Kementerian Keadilan Thailand menasihati beliau.

Teoh, 30, setiausaha politik ahli exco Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di tingkat lima, Plaza Masalam, di sini pada 16 Julai tahun lepas berikutan disoal siasat semalaman oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14, bangunan yang sama.

Kes tangguh pada 1 September depan.

Tiada ulasan: