Jumaat, 13 Ogos 2010

PAS Perlis terima siapa saja terajui PKR negeri

Mohd Ali Hashim

KANGAR- PAS Perlis akan menerima sesiapa sahaja yang bakal dilantik menerajui Parti Keadilan rakyat (PKR) negeri oleh kepimpinan PKR Pusat.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) berkata, adalah menjadi harapan PAS negeri supaya segala masalah dalaman yang membabitkan kepimpinan negeri dapat diselesaikan segera bagi memberi tumpuan terhadap pilihan raya umum yang akan datang.

"PAS Perlis akan terima siapa sahaja yang dilantik oleh PKR Pusat asalkan pemimpin tersebut mampu untuk membentuk kerjasama bagi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat (PR).

"Kita di Perlis tiada mempunyai apa-apa masalah. Apa yang diharapkan ialah wujudnya reformasi yang positif dalam jentera parti itu bagi menstabilkan kembali PKR Perlis," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata demikian sebagai mengulas perletakan jawatan Pengerusi PKR Perlis, Johari Shafie pada 3 Ogos lalu.

Tambah Hashim lagi, ahli dan penyokong PKR harus menilai sendiri sama ada perletakan jawatan Johari itu memberi kesan besar atau sebaliknya kepada kedudukan parti itu dalam proses hala tuju yang sebenar.

Baru-baru ini, Johari didakwa melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Perlis setelah kecewa dengan usaha segelintir pemimpin PKR negeri yang cuba mendesaknya digantikan dengan pemimpin lain.

Manakala timbalannya, Dr Suraya Sudin pula mendakwa tindakan tersebut adalah ekoran berlakunya perebutan jawatan antara dua kumpulan yang bertelagah.

Difahamkan mesyuarat agung cabang PKR yang bermula pada bulan September ini akan menyaksikan pemilihan jawatan dalam kepimpinan parti tersebut seluruh negara.

Tiada ulasan: