Ahad, 8 Ogos 2010

Larangan CD 'Allah': Syed Hamid mungkin diheret

Regina Lee

Kes perbicaraan membabitkan lapan CD audio agama yang dirampas mungkin menyaksikan bekas menteri dalam negeri, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar diheret ke mahkamah untuk dijadikan saksi.

Ia berikutan tindakan oleh peguam yang mewakili seorang wanita Melanau, Jill Ireland Lawrence Bill yang mengemukakan permohonan untuk menyoal balas Syed Hamid berhubung samannya ke atas kerajaan.

CD berkenaan dirampas di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur pada 2008 apabila Jill cuba membawanya pulang dari Jakarta, tetapi dilarang semata-mata tertera perkataan 'Allah' dicetak pada pembalutnya.

Beliau kemudiannya menerima sepucuk surat dari kementerian dalam negeri memaklumkan pemilikan CD berkenaan adalah tidak sah dan beliau juga gagal membayar duti kastam.

Menurut kementerian berkenaan, CD tersebut mengancam keselamatan kerana ia melanggar peraturan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan menggunakan perkataan yang dilarang.

Atas alasan itu, peguamnya memohon supaya Syed Hamid tampil ke mahkamah untuk menjelaskan tindankannya kerana beliau merupakan menteri tersebut semasa kejadian.

"Bekas menteri itu yang mendakwa perkataan berkenaan dilarang, ia dinyatakan melalui satu pekeliling (semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang berkata perkataan itu satu bentuk ancaman,” kata Annou Xavier, seorang daripada peguam Jill.

"Jadi, kita ingin tahu apa sebenarnya ancaman itu, dan bagaimana ia boleh bermula serta siapa yang diancamnya?

“Perkataan 'Allah' telah digunakan oleh komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak untuk ratusan tahun dan secara tiba-tiba kami diberi surat daripada menteri melarang perkataan itu. Kenapa?” soal Annou ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka menetapkan tarikh bagi mendengar permohonan itu tidak lama lagi.

Tiada ulasan: