Ahad, 8 Ogos 2010

Kg Baru: MB Selangor mahu jadi hero, dakwa menteri


KUALA LUMPUR, — Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini menuduh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sengaja campur tangan sambil mahu menjadi “hero” dalam isu pembangunan Kampung Baru, sekali gus mengelirukan orang ramai terutamanya pemilik dan pewaris tanah.

“Memang itu tujuan (kelirukan penduduk) beliau (Khalid), sengaja sahaja nak buat mereka serba salah dalam isu ini (pembangunan Kampung Baru).

“Kenapa beliau perlu campur tangan? Saya percaya Menteri Besar terlibat pasti akan wujud kumpulan-kumpulan yang tidak setuju dengan cadangan yang dikemukakan kerajaan.

“Bila ada kumpulan ini maka segala perancangan mungkin akan dibatalkan, sama seperti tahun 1991 dan 1992 apabila kerajaan mahu membangunkan kawasan itu (Kampung Baru) ada kumpulan yang bantah. Jadi segala pelan pembangunan terpaksa dibatalkan,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu ketika sidang media selepas merasmikan Jejambat Jalan Travers-Jalan Bangsar di sini.

Difahamkan jejambat tersebut bernilai RM34.5 juta itu sudah digunakan sejak awal minggu ini.

Khalid akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Baru, Ahad ini bagi membentangkan model cadangan pembangunan semula penempatan warisan orang Melayu itu.

“Model pembangunan semula Kampung Baru yang akan dibentangkan ini mengekalkan hak milik tanah kepada orang Melayu tetapi pada masa yang sama pemilik tanah mendapat manfaat dari hasil pembangunan bagi tujuan komersial.

“Cadangan pembangunan semula Kampung Baru ini mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah serta membina pembangunan yang setaraf dengan kawasan yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Raja Nong Chik berpendapat campur tangan Khalid itu hanya untuk tujuan politik sahaja.

“Semua yang beliau (Khalid) untuk Kampung Baru hanya atas tujuan politik sahaja, menimbulkan kekeliruan supaya penduduk menolak cadangan kerajaan.

“Malah saya percaya beliau hanya mahu menjadi ‘hero’ sahaja sedangkan selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama jadi ‘hero’ untuk rakyat kerana ini memang tugas kita,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu Raja Nong Chik berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai perancang dan pengawal selia pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur dijangka beroperasi tahun depan.

Raja Nong Chik berkata selain Perbadanan Kampung Baru, turut akan ditubuhkan ialah Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang akan menyedia dana dan melaksanakan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.

Beliau berkata dua syarikat berkaitan kerajaan iaitu Permodalan Hartanah Berhad dan Lembaga Tabung Haji telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan Kampung Baru.

“Kita buat keputusan berdasarkan cadangan yang diberikan oleh pemilik dan pewaris tanah.

“Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dan Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang akan ditubuhkan nanti semuanya adalah cadangan daripada penduduk.

“Bukan kita suka-suka sahaja nak buat keputusan,” tegasnya hari ini.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Kawasan Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.

Jejambat Jalan Travers ke Jalan Bangsar sepanjang 600 meter yang bernilai RM110 juta ini telah dibuka kepada pengguna jalan raya bermula 21 Julai lepas dan ia dirasmikan oleh Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini.

Tiada ulasan: