Sabtu, 28 Ogos 2010

Kerja BN: Tutup skandal saham, timbul hudud


Pakatan Flag Oleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) berusaha mengendurkan perselisihan faham di antara parti-parti komponennya, parti Islam PAS dan sekular DAP berhubung isu kontroversi undang-undang hudud yang timbul kembali, yang sengaja dimanipulasi oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Mereka menuding jari ke arah Umno-BN kerana gemar memainkan isu ini bagi mengalih pandangan rakyat terhadap "isu sebenar" berhubung saham-saham Bumiputera yang "hilang", yang timbul sejak setahun lalu.

Setahun lalu, Perdana Menteri Najib Tun Razak, berkata, RM2 bilion dari sejumlah RM54 bilion saham-saham Bumiputera yang diagihkan sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baru pada 1971, kekal dalam simpanan.

Namun Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyatakan RM54 bilion yang didakwa "hilang" sebenarnya berada dalam tangan "kroni- kroni tertentu."

"Kita seolah-olah bercakap tentang kepentingan orang-orang Melayu. Ke mana pergi peruntukan itu? Adakah diberi kepada menteri-menteri dan anak-anak mereka?" soal beliau ketika bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, di sini semalam.

Walaupun beliau mengakui terdapat pandangan yang berbeza di antara kedua-dua parti itu mengenai hukum hudud, beliau berkata, hubungan tetap kukuh kerana "kami hidup secara muafakat dan bergerak atas dasar-dasar yang dipersetujui bersama.

"Tapi jika kami mempunyai cadangan yang khusus (seperti hal ini), kita tidak seharusnya menafikannya hak mereka untuk mengetengahkan kes mereka.

"Ianya boleh diselesaikan secara baik berdasarkan dokumen-dokumen yang dipersetujui," kata Anwar, merujuk kepada Rangka Kerja Dasar Bersama PR.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh mengelak dari menyentuh tentang ini di mana ahli-ahli politik dan para analisa menganggapnya sebagai "kelemahan" dalam pentadbirannya.

"Apa yang tidak kena dengan hukum hudud? Orang-orang Islam semua tahu apa itu hudud. Mereka yang bertanya pendapat kami tentang hukum hudud ialah Umno. Apa pendirian Umno tentang hal ini?" soal Anwar.

Beliau menegaskan tidak ada masalah membincangkan hukum hudud di kalangan parti-parti komponennya.

PAS dan DAP berbeza pendapat

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa menyokong pandangan Anwar dan berkata, kedua-dua PAS dan DAP mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara tetapi ini tidak membuat kedudukan mereka menjadi goyah

"Kami mengeluarkan kenyataan, di mana kami akan menghormati di antara satu sama lain, walaupun kami mempunyai pandangan yang berbeza dari sudut dasar parti.

"Tapi DAP sudah kenal dengan PAS sebelum PR ditubuhkan lagi, PKR kenal PAS sebelum ini dan PAS kenal DAP. Kami mempunyai agenda sendiri tapi kami masih duduk bersama untuk membincangkan kepentingan bersama. Bagi saya, mempunyai pandangan yang berbeza adalah perkara biasa," katanya.

Bagi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, perbezaan pendapat seperti itu tidak menghalang mereka dari bersatu padu untuk menentang kemungkaran.

"Tapi yang jahatnya mereka bermain dengan api dan menghasut supaya timbul kebencian sesama kaum agar mereka dapat menutup skandal saham RM54 bilion.

"Siapa yang bertanggungjawab tentang hal ini, sudah tentu pemimpin-pemimpin BN. Maka sebab itu mereka enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja supaya perkara ini dapat dilupakan. Isu ini jauh lebih penting dari isu-isu lain," kata Lim.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Setiausaha Agung PAS Mustapha Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah.

Tiada ulasan: