Rabu, 11 Ogos 2010

Inkues Teoh: Kecuaian, keraguan burukkan lagi persepsi rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail digesa memikul tanggungjawab atas kontroversi pendedahan bukti baru berhubung kematian bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock kerana didakwa memperlihatkan kecuaian dalam mengendalikan pendakwaan tanpa menimbulkan keraguan.

Perkembangan terbaru ini juga dilihat sebagai satu lagi tamparan kepada usaha pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu memulihkan persepsi rakyat sejak pilihan raya umum ke-12, malah terhadap sistem keadilan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penganalisis politik dan pakar perundangan Prof Abdul Aziz Bari berkata, walaupun pasukan pendakwa mempunyai segala hak untuk membawa sesuatu bukti yang baru tetapi dalam kes terbaru ini menunjukkan wujud unsur kecuaian.

“Oleh itu, saya merasakan Peguam Negara dan pasukan siasatan (polis) perlu memikul tanggungjawab kerana didapati memandang remeh proses siasatan dan pendakwaan... ini sekali gus menimbulkan keraguan di kalangan rakyat, menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan makin meningkat,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Situasi kecuaian yang membawa kepada persepsi negatif di kalangan rakyat berhubung sistem pendakwaan, keadilan dan proses siasatan bukan sesuatu yang baru.

“Kita sudah banyak kali berhadapan dengan kes macam ini, misalnya kes Kugan (suspek mati dalam tahanan polis), enjin jet TUDM hilang, remaja Aminulrasyid Amzah (yang mati ditembak polis Mei lalu)... semuanya berkaitan dengan keraguan dan persepsi rakyat,” kata Aziz lagi.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ketika SPRM, kerajaan sedang berusaha untuk memperbaiki persepsi rakyat terhadap kerajaan,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada pihak pendakwa mempunyai hak untuk mengetengahkan bukti baru di mana-mana peringkat perbicaraan, Aziz berkata, “boleh, tetapi benda (cara ini) tidak betul.”

“Ini kerana tindakan macam ini menimbulkan syak-wasangka,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempertikaikan tindakan mengemukakan bukti baru pada peringkat ini, tindakan yang menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat.

“Ini satu kejutan, sepatutnya Peguam Negara tidak menunggu sehingga sekarang untuk mengemukakan bukti baru, seolah-olah menunjukkan ada unsur jahat, dan menimbulkan keraguan,” kata beliau yang juga seorang peguam.

“Bila timbul kesangsian, ia akan mengakibatkan persepsi dan ketidakyakinan rakyat terhadap inkues,” kata beliau yang turut mengakui pasukan pendakwa boleh membawa bukti baru.

“Tetapi masa bukti baru ini dibawa menimbulkan keraguan, yang mana mereka sepatutnya telah dibawa lebih awal, di peringkat awal inkues.... tapi menunggu sehingga sekarang,” katanya lagi.

Kata beliau, kesangsian itu menjadi perhatian selepas saksi forensik dari Thailand sebelum ini pernah mengatakan bahawa ada kemungkinan 80 peratus kematian Teoh disebabkan oleh elemen “dibunuh”.

“Di antara persoalan Teoh kemungkinan membunuh diri dan tanggapan dia dibunuh, bukti baru seperti ini boleh menimbulkan keraguan dan kesangsian,” katanya lagi.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu, dikeluarkan lewat petang semalam menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: