Sabtu, 21 Ogos 2010

Hudud cara terbaik – Nik Aziz


Nik Aziz Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri tidak akan berputus asa untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu walaupun mendapat halangan daripada kerajaan pusat.

Memetik kenyataannya di sebuah online portal berkata, pihaknya sedaya upaya melaksanakan undang-undang itu mengikut kemampuan bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Kelantan mencatatkan rekod pada tahun 1993 dengan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) sekaligus menjadi negeri pertama meluluskan undang-undang berkaitan hudud.

Menurut Nik Aziz, peningkatan gejala sosial di negara ini ekoran undang-undang yang digunapakai gagal dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di kalangan masyarakat.

“Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kita kan buat. Kita membatas penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan,” katanya yang juga Mursyidul AM PAS.

Katanya, peningkatan gejala sosial yang berlaku berada di tahap membimbangkan, dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian berlaku di Malaysia.

Beliau turut menyentuh gejala pembuangan bayi yang semakin meningkat hari demi hari.

“Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154 peratus dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain,” katanya.

Namun menurut Nik Aziz, hudud diberikan imej buruk oleh media Barat ditambah pula sokongan media sekular dalam negara yang menjadikan masyarakat sering salah anggap mengenai hukuman tersebut.

Tiada ulasan: