Selasa, 3 Ogos 2010

Berikan Kembali Hak Mahasiswa Berpolitik, Mansuh Auku

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang dianggap mengekang kebebasan dan zalim terhadap mahasiswa terus dihentam apabila Senator Dr Syed Husin Ali mengatakan adalah menjadi hak setiap pelajar institusi pengajian tinggi untuk melibatkan diri dalam urusan negara, termasuk perjalanan dan proses politik demokrasi, sama ada di dalam atau pun di luar kampus.

Tambah Dr Syed Husin sebagai kelompok muda yang terpelajar, mahasiswa mempunyai peranan besar untuk menentukan masa depan negara ini.

Malangnya akibat kekangan Auku, ia menyebabkan wujudnya budaya dalam kampus yang gagal untuk membentuk manusia yang mempunyai idealisme dan matang dalam membuat keputusan.

"Apa yang penting sekarang adalah wujud perbincangan tentang kebebasan yang hendak diberikan termasuk kepada guru siswazah. Malah ada juga Menteri yang mengatakan pensyarah dan pelajar juga boleh berpolitik. Peliknya, masih lagi wujud tindakan keras yang diambil ke atas mereka," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen selepas sesi soalan lisan dalam perbahasan Rang Undang-undang Rancangan Malaysia Ke-10 pagi tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN menjelaskan demikian kepada sidang media di lobi Parlimen, , hari ini.

Berhubung kes 'UKM 4' yang melibatkan empat mahasiswa jurusan Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa dibawah Auku atas dakwaan terlibat dalam kempen politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu, Dr Syed Husin berkata sekiranya seseorang warganegara telah mencapai umur 21 tahun maka dibenarkan untuk mengundi.

Ini bermakna larangan ke atas mahasiswa yang melepasi had umur kelayakan tersebut untuk menyokong, menghadiri program politik, berkempen mahu pun bertanding disifatkan tidak masuk akal dan tidak terpakai.

"Apa yang menghairankan kehadiran mereka ke sana bukannya untuk menyertai pilihan raya kecil tersebut tetapi untuk menjalankan kajian berkaitan proses dan perjalanan pilhan raya di negara ini.

"Sebagai pelajar jurusan Sains Politik, salah satu keperluan tugasan mereka adalah untuk hadir dan membuat kajian dalam pilihan raya," tambah beliau.Dr Syed Husin menegaskan kerajaan perlu sedar bahawa masa depan negara ini terletak di tangan golongan pelajar.

Kongkongan terhadap hak dan kebebasan mereka akan mengganggu perkembangan sahsiah dan minda mereka.

Oleh itu kata beliau amat wajar sekali jika Auku terus dimansuhkan.

Tiada ulasan: