Ahad, 25 Julai 2010

Zunar Dan Malaysiakini Fail Semakan Kehakiman


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Kartunis, Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) dan portal berita, Malaysiakini akan memfail semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku kartun beliau, '1Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun' di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.

Ini berikutan tindakan pihak KDN yang mengharamkan dua buku kartun karya kartunis Zunar "1Funny Malaysia" dan "Perak Darul Kartun" pada 24 Jun 2010.

Menurut laporan akhbar, Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam dipetik sebagai berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan. Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata beliau.

Sesiapa yang didapati mencetak, mengimport, menerbit, mengulang-cetak, menjual, mengedar atau memiliki boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda sebanyak RM 20,000.

1Funny Malaysia adalah koleksi karya-karya pilihan kartun-kartun yang tersiar dalam portal web Malaysiakini dari tahun 2005 hingga 2009. Perak Darul Kartun, buku terbitan syarikat Zunar sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd adalah karya koloborasi beliau bersama beberapa kartunis tempatan .

Tiada ulasan: