Ahad, 4 Julai 2010

USAHAWAN GLOKAL MENERUSI INTERNET





KLIK….Dato’ Joseph Salang sedang melakukan simbolik perasmian dengan meng’klik’ papan kekunci bagi melancarkan carnival berkenaan.

Oleh: MAIL MATHEW

MASYARAKAT luar bandar berpeluang memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas secara global menerusi capaian internet melalui slot e-kedai dalam portal Pusat Internet Desa (PID) terutamanya produk unik seperti alatan kraftangan, barangan makanan sejuk beku, ubat-ubatan tradisional, baja organik dan tepung kek.

Malah sehingga kini sebanyak 116 e-kedai telah tersedia dalam portal pid.net.my dan 137 produk telah dipasarkan menerusi talian, di mana satu-satunya usaha Kementerian memperkasakan usahawan khususnya luar bandar dalam mendayagunakan ICT.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Dato’ Joseph Salang berkata demikian ketika melancarkan Karnival Keusahawanan sosial PID Tenom pada Sabtu bertempat di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom.

Hadir sama di majlis itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Radin Malleh; Pegawai Daerah Siriman M.F. Basir; Ahli Parlimen Datuk Raimie Unggi, Datuk Rubin Balang, para pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan.

Salang berkata, karnival keusahawanan social PID 2010 merupakan karnival kali ke-3 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008 di mana ia merupakan aktiviti tahunan PID.

“Aktiviti ini pernah disenaraikan sebagai aktiviti Global Entrepreneuship Week (GEW) sepanjang berlangsungnya program ini, dan mendapat pelbagai sokongan dari sektor swasta dan kerajaan yang diterima PID setakat ini,” tegasnya.

“Saya difahamkan juga bahawa masyarakat luar bandar yang menyertai karnival ini telah diberi latihan yang secukupnya sebelum mereka memasuki pasaran alam maya. Mereka juga telah dilatihkan mengguna portal PID,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kementeriannya telah mengadakan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah yang menarik, di mana antara yang dipertandingkan ialah anugerah PID Dinamik, Anugerah Usahawan Tekno dan Anugerah E-Kedai Kreatif.

Sementara itu, semasa sesi sidang akhbar di Pejabat PID, apabila ditanya media berhubung gesaan Adun Melalap Datuk Radin Malleh yang mahu siaran dalam bahasa Murut khususnya semasa siaran subuh ditiadakan, sebaliknya siaran sejam itu ditambah kepada siaran waktu siang; beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan mencari jalan untuk mengubah program itu supaya ia menepati kehendak rakyat khususnya masyarakat Murut.

Kepada soalan lain, beliau menegaskan bahawa pihak Kementeriannya sedang giat membangunkan infrastruktur komunikasi supaya dapat meliputi secara meluas dan dapat menampung kehendak luar bandar.

Selain itu, beliau juga turut menegaskan bahawa perkhidmatan Pos perlu dipertingkatkan khususnya kemudahan komuniti Pos (community box).

Tiada ulasan: