Jumaat, 16 Julai 2010

Tharmendran Dakwa TUDM Seksa Untuk Paksa Mengaku Bersalah Kes Enjin Jet Hilang

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR - Sarjan N Tharmendran daripada Tentera Udara DiRaja Malaysia yang dituduh bersubahat mencuri dua enjin pesawat F-5E Januari lalu membuat pendedahan berhubung penderaan fizikal yang dialaminya semasa di dalam tahanan di penjara Sungai Buloh selama enam bulan.

Beliau yang hadir bersama peguamnya, N Surendran berkata beliau telah mengalami penderaan fizikal yang teruk dan dipaksa untuk mengaku bersalah.

Pada sidang media di parlimen semalam, Tharmendran, 42, berkata seorang ketua pegawai penyiasat, Mejar Ismail Omar telah diarahkan untuk menyelesaikan kes itu dan dibenarkan menggunakan apa cara sekalipun bagi memaksa beliau mengaku bersalah.

"Sepanjang tempoh tahanan saya bermula 2 Julai 2009, selama 60 hari saya ditahan, mereka tidak memberitahu keluarga di mana saya ditahan. Saya dipaksa mengaku bahawa saya bersalah mencuri enjin tersebut.

"Sepanjang tempoh sisatan, Mejar Ismail Omar, ketua pegawai penyiasat dipanggil Panglima Tentera Udara untuk meyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin dan boleh menggunakan apa cara sahaja asalkan dapat selesaikan kes ini," ujar beliau.

Tharmendran juga menceritakan bagaimana beliau telah didera oleh pegawai berkenaan dan tidak dibenarkan tidur selama tiga minggu di dalam sebuah bilik kecil secara berterusan dan dipaksa mengaku bersalah.

Semasa dalam tahanan itu, beliau juga diminta memakai topi keledar dan kepalanya dipukul menggunakan kayu kriket dan kayu golf sehingga topi keledar yang dipakai retak.

Sepanjang dalam tahanan itu juga, beliau turut mendengar tahanan lain didera dengan teruk sehingga tangisan dan jeritan mereka dapat didengari.

"Semasa saya disoal siasat, terdapat tiga hingga empat orang yang disoal siasat. Mereka turut didera dan saya dapat mendengar tangisan mereka merayu agar tidak dipukul. Namun saya tidak pasti sama ada mereka mahu tampil membuat pendedahan seperti yang saya lakukan ini," jelas beliau lagi.

Beliau juga turut kesal terhadap TUDM yang langsung tidak mengambil tahu mengenai apa yang berlaku terhadapnya sepanjang tempoh tahanan namun selepas dia dibebaskan, dia dipanggil untuk bertugas kembali.

"Tempoh perkhidmatan saya sepatutnya berakhir pada 28 Mei tahun ini tetapi selama 6 bulan saya ditahan di penjara Sungai Buloh, tidak pernah sekali pun mereka bertanya apa berlaku pada saya. Tetapi apabila saya keluar dengan peguam saya, baru mereka datang suruh saya bertugas. Saya rasa ini sangat tidak adil," tambah beliau.

Sebelum ini, Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu beliau boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Minggu lalu, beliau telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesalahan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F-5E milik TUDM dijelaskan oleh bapanya, N. Nagarajan selaku penjamin.

Tiada ulasan: