Ahad, 4 Julai 2010

SNAP Cabar SPDP Pada 7 Kerusi di Sarawak


edwin_dundang Oleh Roselind Jarrow

KUCHING: Parti Nasional Sarawak (SNAP) akan mencabar secara habis-habisan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada pilihan raya negeri akan datang berikutan kekacauan yang ditimbulkan oleh parti itu.

"Ya, SNAP akan menentang SPDP secara sepenuh tenaga pada tujuh kerusi milik kami sebelum berlakunya perpecahan," kata Setiausaha Agung SNAP Stanley Jugol.

Jugol diminta untuk mengesahkan kenyataan Presiden SNAP Edwin Dundang bahawa parti bercadang untuk mengambil balik kerusi-kerusi itu dari SPDP.

"Oleh sebab SPDPlah, kami kehilangan semuanya dan parti kami dibatalkan pendaftarannya pada November 2002. Kami telah memohon penangguhan terhadap keputusan pembatalan itu oleh Pendaftar Pertubuhan.

"Memandangkan kini parti diberi peluang sekali lagi, kami mesti melawan SPDP habis-habisan di Ba’Kelalan, Marudi, Meluan, Pakan, Tasik Biru, Krian dan Batu Danau," kata Jugol.

Parti juga menumpukan perhatian kepada kerusi-kerusi parlimen yang pada suatu ketika dulu dipegang oleh SNAP seperti Baram, Bintulu, Saratok dan Mas Gading.

Dundang memberi isyarat bahawa beliau akan bertanding kerusi Marudi memandangkan parti mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi. Marudi mempunyai sejarah yang panjang dengan SNAP," kata beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, Sylvester Enteri mengalu-alukan sebarang cabaran dari bekas partinya.

"Terpulang kepada Dundang untuk bertanding menentang saya. Saya menerima cabaran itu," kata Enteri, yang juga Penolong Menteri Pengagihan Air.

Tiada ulasan: