Ahad, 4 Julai 2010

Skim pencen anggota polis sebelum merdeka

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengusulkan kepada kerajaan cadangan untuk memberikan pencen buat semua pesara polis yang berkhidmat sebelum merdeka.

Menurut Timbalan Menterinya, M. Saravanan berkata, skim tersebut akan diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu perlu sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota polis yang banyak berjasa kepada negara.

"Saya pernah cuba membawa usul ini kepada KDN sebelum ini tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat beberapa halangan seperti dasar yang telah diperuntukkan dan rombakan Kabinet.

"Namun begitu, saya sekali lagi akan membawa usul ini kepada kepada KDN sebagai bukti kerajaan prihatin kepada kebajikan mereka (pesara)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang menjadikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk membantu bekas anggota keselamatan itu.

"Saya juga yakin Perdana Menteri kita yang berjiwa rakyat dapat membantu. Ketika ini hanya tinggal kira-kira 2,000 bekas anggota yang masih hidup, ada antara mereka uzur dan memerlukan bantuan," tambah beliau.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Saravanan yang mewakili kementeriannya menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada persatuan tersebut.

Majlis bertemakan 'Jom Santai Bersama Ahli dan Keluarga 69' itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan bekas anggota dan keluarga ahli.

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Di Raja Malaysia, Hashimi Haron berkata, persatuan tersebut sentiasa mengambil berat tentang ahli di bawah naungan persatuan tersebut.

"Setakat ini kita telah menyumbang 40 buah kerusi roda dan banyak membuat sumbangan kepada bekas anggota skuad 69 dan balu mereka yang uzur.

Pada majlis itu, pihak persatuan menyumbangkan tiga buah kerusi roda dan sumbangan wang tunai kepada lapan balu.

Tiada ulasan: