Rabu, 21 Julai 2010

Sajak Asri: ‘Rampas lagi subsidi, ke mana wang itu pergi?’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas mufti Perlis terus mempersoalkan rasional tindakan kerajaan mengurangkan subsidi beberapa produk berkuat kuasa Jumaat lalu dalam bentuk sajak dengan menekankan “kembalikanlah kepada kami harta negara, jangan hanya kalian sahaja yang merasa...”

Dalam sajaknya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan di mana dan bagaimana hasil penjimatan daripada subsidi akan digunakan.

“... kalian rampas lagi subsidi... ke mana wang itu pergi nanti?” kata beliau dalam sajaknya yang disiarkan menerusi portalnya hari ini.

Sehubungan itu, Asri yang sebelum ini disebut-sebut akan menyertai Umno tetapi menafikan mempunyai pelan sedemikian memberitahu, kerajaan juga wajib menggantikan penjimatan daripada pengurangan subdisi.

Asri mengesyorkan bahawa kerajaan seharusnya memberi insentif hasil penjimatan ke atas produk-produk kegunaan rakyat jelata iaitu beras dan tambang pengangkutan.

Malah beliau berkata, kerajaan pernah menjanjikan pemberian insentif dan kemudahan lain hasil penjimatan masa-masa lalu, tetapi ia tinggal janji semata-mata.

“Tapi entah berapa kali janji... konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti... hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi.

“Kami terus termanggu di sini... kalian juga yang nikmati... kami hanya menggigit jari,” kata beliau.

Pendirian hari ini merupakan yang kedua dilahirkan oleh bekas mufti ini.

Sabtu lalu, beliau menyifarkan semula artikel lamanya bahawa agama bukan candu untuk mengkhayalkan orang miskini yang ditulis dan disiarkan di media utama semasa kenaikan harga minyak ketika era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Aduhai malangnya, ketika kerajaan sedang membina istana negara yang berharga RM811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas.

“Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibu bapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang... mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: