Sabtu, 3 Julai 2010

Rogol remaja: Lelaki baru kahwin dipenjara tujuh tahun

UTUSAN ONLINE

MELAKA - Seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga tidak dapat menahan sebak apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah merogol seorang remaja berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Mohamad Fadzil Abd. Hamid, 25, dari Pernu disabitkan dengan kesalahan tersebut yang berlaku di sebuah rumah di Batu 3, Padang Temu di sini pada pukul 4.30 petang, 14 Ogos 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hakim Ahmad Kamal Jamaluddin yang menjatuhkan hukuman itu bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan menambah jumlah jaminan RM6,000 kepada RM10,000.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ishak Kari mewakili tertuduh memohon supaya hukuman ringan dikenakan memandangkan anak guamnya baru berkahwin dan perlu menanggung ahli keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes tersebut dilihat semakin serius di kalangan masyarakat pada masa ini.

"Ketika kejadian tertuduh berusia 22 tahun dan mangsa berumur 15 tahun.

"Sepatutnya tertuduh sebagai seorang lelaki bertindak melindungi seorang wanita dan bukannya mengambil kesempatan terhadap mangsa," kata Mohd. Asri.

Tiada ulasan: