Ahad, 18 Julai 2010

PRU Sarawak: Komite induk Pakatan ditubuh, laporan siap Sept


KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) dijangka akan menyelesaikan pelbagai aspek persiapan menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak termasuk mengenal pasti calon berpotensi dan formula pengagihan kerusi menjelang akhir September ini.

Kepimpinan PR yang mengadakan mesyuarat Rabu lalu telah menubuhkan jawatankuasa induk persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu.

Mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat pimpinan PR telah membincangkan isu berkaitan dengan usaha menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil komponen PR dari Sarawak.

“Kami yakin jawatankuasa ini akan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan kerusi ditandingi, mengenal pasti bakal-bakal calon dan lain-lain yang berkaitan sebelum akhir September ini,” kata beliau ketika dihubungi.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu menambah, syor-syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut akan disahkan oleh kepimpinan pusat PR.

“Pandangan jawatankuasa ini akan dibawa ke perhatian kepimpinan tertinggi Pakatan untuk pengesahan,” kata beliau.

Dalam pada itu, PR Sarawak akan mengadakan mesyuarat pertama mereka di Kuching malam ini.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak Chiew Chiu Sing memberitahu The Malaysian Insider bahawa kesemua pemimpin peringkat nasional komponen PR juga akan hadir untuk memuktamadkan keanggotaan majlis kepimpinan PR Sarawak.

“Saya merasakan ini masanya bagi kami menyelesaikan perundingan mengenai pengagihan kerusi,” kata Adun Kidurong ini.

DAP dan PKR, antara dua komponen PR negeri sedang terlibat dalam perundingan mendalam berhubung lima kerusi di kawasan bandar yang dilihat sebagai kubu kuat pembangkang negeri.

Kedua-duanya telah menemui tiga kali sejak awal tahun ini berhubung isu pertindihan kerusi, tetapi belum mencapai kata putus.

PKR juga mengadakan perbincangan berasingan dengan PAS dan Parti Nasional Sarawakl (Snap) berhubung kerusi-kerusi di kawasan luar bandar.

“Yang paling besar melibatkan kami dan DAP, jadi terdapat perselisihan besar dan saya merasakan tiada masalah besar untuk mencapai penyelesaian,” kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Pemimpin-pemimpin PR nasional yang dijangka hadir sama pada pertemuam malam ini ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan rakan sejawatannya dari PAS Nasharudin Mat Isa.

Tiada ulasan: