Ahad, 4 Julai 2010

PPP Tidak Akan Tuntut Kerusi Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP), yang kehilangan dua kerusi yang diperuntukkan kepada mereka oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2008, tidak akan menuntut kerusi untuk bertanding dalam pilihan umum akan datang, kata presidennya Datuk M Kayveas.

"Kami tidak akan bertengkar untuk kerusi, dan parti akan patuh kepada nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Wisma PPP di sini hari ini.

Bagaimanapun, PPP akan mengenalpasti kawasan yang PPP ada peluang untuk menang, jika diberikan lampu hijau untuk bertanding, kata Kayveas.

Kayveas berkata beliau telah mengarahkan ketua-ketua negeri parti itu untuk mengenalpasti kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dapat memberi peluang bagi parti itu menang bersama BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga berkata parti itu tidak akan campur tangan jika kerusi yang ingin ditandingi itu diminati parti komponen BN yang lain.

"Kita tidak hendak gaduh untuk kerusi. Jika kita tengok pada pilihan raya lepas, banyak kerusi BN kalah kerana parti-parti komponen bergaduh antara satu sama lain. Tapi yang jadi hero adalah pembangkang," katanya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Kayveas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Taiping yang disandangnya selama satu penggal setelah dikalahkan oleh Nga Kor Ming dari DAP dengan majoriti 11,298 undi.

Sementara calon PPP untuk kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pasir Bedamar Lee Heng dikalahkan oleh calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,914 undi.

Tiada ulasan: