Rabu, 7 Julai 2010

PM: Felda tetap akan saman Suara Keadilan

THE MALAYSIA INSIDER

IPOH — Felda tetap akan menyaman akhbar PKR, Suara Keadilan RM200 juta ekoran laporannya bulan lalu yang bertajuk “Felda Bankrap”, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada sambutan Hari Peneroka dan perasmian Maktab Rendah Sains Mara di Felda Trolak di sini pagi ini.

Felda mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta dan permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat berhubung laporan akhbar mingguan parti itu pada Khamis lalu.

Selain akhbar milik PKR itu, notis tuntutan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, turut dihantar kepada penerbit akhbar itu, Syarikat Pelita

Koridor Sdn Bhd serta pencetaknya, Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

Bagaimanapun PKR dan pengurusan Suara Keadilan sudah memutuskan tidak akan memohon maaf dan tidak akan membayar satu sen pun.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan kerosakan reputasi kepada Felda disebabkan tuduhan ia bankrap yang terkandung dalam Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu.

“Pihak berkenaan (Suara Keadilan dan PKR) diberi masa tujuh hari untuk membayar ganti rugi berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada Felda,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan Khamis lalu.

Dalam pada itu Najib berkata Felda telah membuat pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat dan merupakan sebuah institusi yang berjaya tetapi dituduh bankrap oleh mereka yang sebenarnya bankrap idea, moral dan prinsip perjuangan.

Perdana Menteri berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap telah membuat tuduhan liar yang tidak berasas serta melakukan satu dusta.

“Kita ada RM4 bilion kita labur, bukan joli katak bukan songlap. kita melabur untuk kesejahteraan peneroka,” katanya.

Lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda seluruh negara menghadiri majlis itu yang berupa sambutan Hari Peneroka yang terbesar pernah diadakan.

Perdana Menteri berkata mereka yang membuat tuduhan itu juga tidak memahami prinsip perakaunan dan perniagaan.

Beliau berkata pembangunan Felda adalah warisan perjuangan pusaka tetapi cuba dihina, difitnah dan dicemari imejnya.

“Tak bankrap... bukan Suara Keadilan yang tentukan,” katanya sambil disambut dengan teriakan peneroka yang melaung supaya Felda meneruskan saman RM200 juta terhadap Suara Keadilan yang menyiarkan laporan mendakwa Felda bankrap sebelum ini.

Perdana Menteri berkata Felda akan meneruskan tindakan mahkamah menyaman Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung tuduhan berkenaan.

“Hari ini suara perhimpunan hendak kita teruskan... kita jumpa di mahkamah,” katanya sekali lagi disusuli tepukan gemuruh.

Najib berkata Felda kini mempunyai wang tunai sebanyak RM1.3 bilion dan ini tidak termasuk wang yang terdapat dalam beberapa anak syarikatnya.

“Nak kata apa bankrap... Felda sahaja ada RM1.3 bilion tunai. Felda labur dalam saham dan membelinya pada harga RM844 juta, hari ini dah naik lima kali ganda. Boleh kata kita bankrap?,” katanya.

Perdana Menteri, saham-saham yang dibeli Felda adalah daripada syarikat besar seperti MISC dan Maybank yang tersenarai di Bursa Malaysia dan jika dijual sekarang boleh memperoleh RM4.6 bilion.

Menurutnya, ladang-ladang yang dimiliki Felda jika dijual dengan nilai konservatif ladang komersial adalah berharga RM10 bilion.

Beliau menjelaskan Felda merancang pembangunan untuk jangka panjang dan telah membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan Kanada bagi menembusi pasaran global dalam usaha meningkatkan pemasaran produk di peringkat antarabangsa yang akan membantu meningkatkan lagi harga sawit.

Katanya Felda juga telah membelanjakan RM2.4 bilion untuk tanaman semula.

“Kalau pokok dah tua mana nak keluar buah (sawit) atau susu (getah),” katanya.

Mengenai projek pembinaan Menara Felda yang baru, beliau berkata tanah yang dibeli bagi projek itu kini kalau dijual pun sudah mendapat untung yang banyak.

“Kita kalau nak buat bangunan tak kan nak buat di Kampung Keramat atau Kampung Baru (di Kuala Lumpur)... kita buat di sebelah Menara Berkembar Petronas,” katanya.

Najib sekali lagi menarik perhatian hadirin apabila bertanya sama ada seseorang yang bankrap boleh membayar zakat.

“Kalau bankrap boleh tak bayar zakat tak wajib bayar zakat... Felda membayar zakat RM26 juta tahun lepas kepada kerajaan-kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata mereka yang menuduh Felda bankrap sebenarnya bankrap idealisme dan moral.

Katanya wakil rakyat mereka pun tinggalkan parti, setiausaha agung pun tinggalkan parti kerana parti itu bankrap prinsip dan perjuangan.

Perdana Menteri kemudian merasmikan MRSM Felda serta mengiystiharkan nama baru MRSM termoden dan tercanggih yang bernilai RM120 juta sebagai MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak.

Tiada ulasan: