Isnin, 19 Julai 2010

Pertandingan Keceriaan Kibar Jalur Gemilang bermula 1 Ogos

UTUSAN ONLINE

KUALA TERENGGANU - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan pertandingan Keceriaan Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Morad berkata, kementerian itu merancang mengadakan pertandingan yang akan berlangsung selama sebulan itu bermula 1 Ogos ini.

Menurut beliau, pihaknya sedang merangka terma rujukan serta syarat dan mereka yang boleh menyertai pertandingan tersebut bagi menarik penglibatan meluas dalam program menyemaikan rasa cinta dan banggakan negara.

Katanya, program itu dijadual dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 1 Ogos ini di Perlis.

Menurutnya, pertandingan itu diadakan kerana sebelum ini ada pihak yang mengambil bahagian dalam memasang bendera besar tetapi tiada penghargaan diberikan kepada mereka.

"Pertandingan ini juga akan menjadikan negara kita ceria dan meriah dengan bendera," katanya selepas Pertandingan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Kebangsaan di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Abdullah berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertandingan tersebut mengikut kategori iaitu peringkat kampung, taman perumahan, gedung perniagaan dan pejabat swasta.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau meminta rakyat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam Banci Penduduk dan Perumahan 2010.

Katanya, kerjasama penduduk akan membantu kerajaan merencana usaha yang lebih berkesan dalam membangunkan rakyat dan negara.

Tiada ulasan: