Isnin, 19 Julai 2010

Perbicaraan Fitnah II Ditangguh Ke 2 Ogos

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersetuju untuk menunda perbicaraan kes Fitnah II terhadap Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 2 Ogos depan.

Ini berikutan perrmohonan daripada peguam utama pembelaan, Karpal Singh yang diberikan cuti sakit akibat jangkitan paru-paru.

"Mahkamah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam Param Cumaraswamy. Jaminan dari Param bahawa kes itu akan tetap diteruskan tanpa mengira sama ada Karpal akan hadir kemudian hari nanti.

"Seorang daripada peguamnya mesti meneruskan perbicaraan jika diperlukan nanti,” kata Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah .

Dalam pada itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamad Yusof Zainal Abiden tidak membuat bantahan. Perbicaraan kes Fitnah II dijangkakan akan disambung semula sepanjang bulan Ogos.

Karpal Singh yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-70 kelmarin, diberikan cutikan sakit selama 15 hari. Beliau kini sedang berehat selepas dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Peguam pembantu, Sankara Nair memaklumkan kepada media di luar mahkamah, bahawa Karpal dikejarkan ke hospital pada 9 Julai lalu akibat pneumonia. Menurutnya jika Karpal masih belum pulih, seorang lagi peguam dalam pasukan mereka akan menggantikan tempat Karpal.

"Kita telah berjanji kepada mahkamah, kita juga mahu perbicaraan disambung semula. Beliau mempunyai dua minggu untuk pulih sepenuhnya. Saya yakin beliau akan sempat pulih sepenuhnya,” kata Sankara.

Selain Karpal, Param dan sankara, peguam lain yang mewakili Anwar ialah CV Prabhakaran, Wan Anuar Syahadat, Melissa Christopher Fernando dan ahli jawatankuasa pusat PAS Mohd Hanipa Maidin

Menurut anak Karpal Ram Singh Deo, bapanya hanya dibenarkan keluar dari hospital pada hari Khamis yang lalu dan kini sedang berehat dirumahnya di Pulau Pinang selepas diberikan antibiotik.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tiada ulasan: