Selasa, 20 Julai 2010

Pemuda yakin Adun PR suarakan tuntutan rakyat

Hrakahdaily

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat yakin dengan komitmen semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) untuk menyuarakan tuntutan rakyat di dalam persidangan Dun pada 3 Ogos ini.

Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, komitmen itu sangat penting bagi Adun menyuarakan pelbagai isu dasar dan permasalahan rakyat yang perlu menjadi agenda utama Dun pada kali ini.

Justeru, pihaknya amat berharap agar tiada gangguan lagi dari mana-mana pihak pada sidang Dun tersebut.

Katanya, DPPN Pk merasakan semua pihak patut menjalankan tugas mereka secara profesional dan adil di samping berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati semua Adun bagi memastikan persidangan kali ini tidak diganggu serta mengikut lunas undang-undang.

“DPPN Pk juga berharap sidang Dun pada kali ini dipanjangkan kerana pelbagai isu rakyat perlu disuarakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, antara perkara yang sentiasa timbul adalah hak rakyat dinafikan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya lagi, isu-isu seperti tuntutan pampasan KTMB di Kuala Sepetang, kes pembalakan haram yang meningkat, kerakusan pembinaan yang membunuh alam sekitar dan banyak lagi temasuk keadaan kewangan negeri yang membimbangkan.

Justeru, pihaknya telah menghantar permohonan bagi mengikuti sidang dan mengharapkan agar diberikan keizinan bagi melihat sendiri perjalanan Dun Perak pada kali ini.

“Sekiranya tidak diberikan keizinan, memang benarlah bahawa Dun Perak tidak lagi berfungsi sepertimana yang didakwa selama ini,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: