Sabtu, 17 Julai 2010

Pecat Pengerusi SPR – pemimpin PR

abdulazizspr FREE MALAYSIA TODAY

Kenyataan Akhbar

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mesti dipecat kerana secara terang-terang menyokong Barisan Nasional dan merujuk Pakatan Rakyat (PR) sebagai "musuh".

PR merujuk kepada wawancara dengan Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof yang bertajuk "besar kemungkinan pilihan raya umum tidak di adakan tahun depan, kata SPR" yang disiarkan oleh The Malaysian Insider pada 13 Julai lalu.

Pertama, bukan urusan SPR untuk membuat spekulasi bila pilihan raya akan di adakan. Keputusan menentukan tarikh pilihan raya terletak kepada kerajaan yang memerintah, baik di peringkat pusat maupun negeri.

Merumuskan wawancara tersebut, pengerusi suruhanjaya itu telah memperlihatkan bahawa beliau tidak bebas, kompeten dan adil sebagaimana yang kita harapkan daripada seorang yang menerajui SPR.

Beliau bukan sahaja menunjukkan sokongannya tetapi bersikap berat sebelah kepada kerajaan Najib dan Umno. Abdul Aziz sepatutnya menumpukan tugasnya untuk mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil sepertimana yang dikehendaki di bawah undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Pakatan Rakyat berpendapat beliau telah melakukan kesalahan apabila beliau berkata:

"(Amaran daripada para pemimpin Umno) adalah bagi memastikan kita sentiasa bersedia untuk berlawan dengan musuh. Kita mesti bersatu padu dan sentiasa melaksanakan program. Kita mesti mempunyai program, dasar dan agenda,

"Jika anda bertanya saya, ini merupakan gear satu dan kita sekarang sedang masuk gear dua. Ada lima gear kesemuanya, jadi kenapa perlu bergopoh gapah?" soal Abdul Aziz, menambah pentadbiran Najib baru mula "panas".

Apabila menyentuh mengenai kepimpinan Najib beliau dilaporkan berkata, "beliau menjadi semakin popular. Apabila sesebuah lagu yang dimainkan itu semakin diminati ramai maka kita jangan terus menghentikannya. Kita harus membiarkan pendengar menikmatinya.

Beliau sering merujuk kepada "kami" bermaksud beliau sendiri dan kerajaan/Umno dan dengan jelas menunjukkan beliau seolah-olah memikirkan bahawa beliau dan SPR adalah sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional.

Abdul Aziz juga merujuk Pakatan Rakyat sebagai "musuh" – satu kenyataan yang memeranjatkan dan di luar dugaan dan dengan jelas menunjukkan tidak ada langsung kebebasan, kompetensi dan keadilan yang diharapkan daripada mana-mana staf SPR, apatah lagi ketuanya.

Bagi menyelamatkan saki baki yang tinggal tentang keyakinan rakyat terhadap SPR, PR menyeru supaya ketua SPR ini dipecat kerana jelas beliau tidak sesuai dan tidak layak memegang jawatan yang sebegitu penting setelah memperlihatkan sikapnya yang terang-terang menyokong kerajaan masa ini dan Umno.

Y.B. Sivarasa Rasiah
Ahli Parlimen Subang
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Y.B. Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Y.B. Tony Pua
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Y.B. Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor
Parti Se-Islam Malaysia (PAS)

Tiada ulasan: