Ahad, 11 Julai 2010

Pakar dihantar ke Lubuk Yu


UTUSAN ONLINE

GAMBAR fail pasukan keselamatan dan orang ramai yang menyertai operasi mencari mangsa lemas pada 26 Jun lalu di kawasan perkelahan Lubuk Yu, Maran.


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini menghantar pasukan pakar perubatan ke Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang bagi mengenal pasti jenis bakteria yang didakwa menjadi punca kematian enam mangsa yang mengunjungi hutan itu pada 26 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini kementerian masih belum boleh mengesahkan sama ada kematian itu berpunca daripada bakteria ataupun virus berbahaya.

"Kementerian Kesihatan melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana ia meragut enam nyawa dalam masa enam hari.

"Setakat ini, kami mengklasifikasikannya sebagai bakteria dan pakar perubatan akan menentukan sama ada ia merupakan bakteria ataupun virus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong Royong Perdana Jom Ganyang Aedes di Taman Kajang Mewah di sini hari ini.

Pada 26 Jun lalu, sejenis virus yang dikatakan terdapat di lokasi mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu dipercayai menjadi punca kepada kematian enam orang selepas mereka terlibat dalam operasi menyelamat di pusat perkelahan itu.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, pelancaran program Gotong Royong Perdana Jom Ganyang Aedes peringkat kebangsaan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penduduk setempat.

Beliau berkata, program ini diadakan secara serentak sepanjang Julai di seluruh negara oleh kerana jumlah kes demam denggi semakin meningkat.

Katanya, walaupun kes tersebut dilaporkan menurun tiga peratus berbanding tahun lalu, jumlah kematian akibat demam denggi meningkat sebanyak 31 peratus.

Menurutnya, Selangor merupakan negeri yang dilaporkan mengalami jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 10,792 kes dengan 34 kematian dan daripada jumlah itu, 3,088 kes berlaku di daerah Hulu Langat.

Tiada ulasan: