Ahad, 4 Julai 2010

LDP GESA KEMELUT KUDAT DISELESAIKAN SEGERA





Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Liberal Demokratik Parti (LDP), Datuk Peter Pang En Yin menegaskan bahawa kemelut isu penamatan lapan pemimpin masyarakat di kawasan Tanjung Kapor yang menjadi hangat baru-baru ini yakin ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini selepas beliau mengemukakan isu tersebut kepada Ketua Menteri Sabah petang kelmarin (Khamis).

Katanya, beliau meminta supaya isu itu diselesaikan dengan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN) di mana Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Pengerusi BN Sabah.

“Apa apa juga perlantikan jawatan mahupun pemecatan haruslah menerusi perundingan dengan wakil rakyat berkenaan dan bukan di sebaliknya kerana permuafakatan adalah penting dalam semangat setiakawan dalam BN,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar di lobi sebuah hotel tempatan di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri belia dan Sukan Negeri Sabah seterusnya berkata, beliau amat mengesali kejadian seperti itu boleh berlaku lagi dalam usia kematangan kerajaan BN bertapak di negeri jika sikap Ketua Daerah Kudat OKK Haji Harun Bidin bertindak matang dalam menangani masalah tersebut.

“Saya tidak hairan di mana-mana kawasan pun ada berlaku masalah seperti itu malah di kawasan saya sendiri di DUN Karamunting juga pernah berlaku tetapi segala-galanya dapat diatasi menerusi perundingan dan bukan ikut pintu belakang,” tegas beliau.

“Sepatutnya kes di DUN Tg Kapor semua perlantikan jawatan atau penamatan jawatan mestilah melalui wakil rakyat terbabit yang kemudiannya dimajukan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, tetapi bukan menerusi Penyelaras BN di kawasan Parlimen Kudat dan itulah puncanya masalah ini,” tambahnya lagi.

Datuk Peter Pang berada di sini sejak petang Khamis untuk menghadiri mesyuarat tahunan bahagian LDP Tenom dan diiringi Setiausaha Agung LDP yang juga Adun Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang.

Ketika diajukan soalan berhubung gesaan segelintir pemimpin parti pembangkang di negeri ini agar LDP meninggalkan BN setelah disisihkan BN beliau berkata, itu bukan agenda perbalahan itu dan juga bukan budaya politik LDP sebaliknya LDP tetap setia bersama gagasan BN.

Ditanya lanjut, adakah beliau pasti siapakah dalang penamatan 8 pemimpin masyarakat yang menjadi tunggak pergeseran itu Pang berkata,

“Cadangan penamatan itu dikeluarkan oleh Ketua Daerah Kudat OKK Haji Harun Bidin yang kemudiannya memajukan kepada Kementerian kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang mengeluarkan surat tersebut tanpa melalui Adun Tg Kapor Datuk Teo Chee Kang,” tegas beliau lagi sambil mengharapkan agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi.

Tiada ulasan: