Isnin, 19 Julai 2010

Koperasi anak Felda ditubuh


Rozali Ismail bersama Persatuan Sukan Bermotor GWGF Malaysia serta sukarewalan menunjukkan isyarat bagus di Pusat Bandar Palong 4,5, dan 6, Gemas, Negeri Sembilan, semalam.


TAMPIN - Sebuah koperasi untuk anak-anak peneroka Felda, Koperasi Anak Felda akan ditubuh bagi memberi peluang kepada generasi peneroka mendapat peluang perniagaan di tanah rancangan tersebut.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, penubuhan koperasi tersebut akan dicadangkan kepada pihak kerajaan penghujung tahun ini dan dibuat selepas satu mesyuarat dengan anak-anak peneroka baru-baru ini.

Kata beliau, pada masa depan, semua anak peneroka daripada generasi kedua, ketiga dan keempat berhak menyertai koperasi tersebut walaupun tidak tinggal di tanah rancangan Felda lagi.

"Ini merupakan salah satu cara untuk kita mengumpul dana kerana koperasi ini boleh menyalurkan faedah kepada semua anak peneroka. Kalau kita buat syarikat, yang ada nama cuma seorang dua, jadi ramai yang tidak puas hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat isu-isu semasa berkaitan Felda di Palong 6, Gemas di sini hari ini.

Rozali berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh tanah air untuk bertemu dan berbincang dengan anak-anak peneroka Felda yang diharapkan membawa kepada persetujuan ke arah penubuhan koperasi tersebut.

"Penghujung tahun ini kita akan kemukakan cadangan tersebut dan tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Cadangan ini akan dibuat setelah semua anak peneroka bersetuju.

"Kesemua anak peneroka boleh menjadi ahli dan mendapat faedah daripada perniagaan yang bakal diusahakan," katanya.

Beliau pada masa sama menafikan penubuhan koperasi tersebut untuk bersaing dengan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mana 50 peratus sahamnya dipegang oleh peneroka sendiri iaitu generasi asal peneroka tanah rancangan itu.

"Jumlah anak peneroka sekarang ini sudah hampir kepada 600,000 orang. Sebahagiannya masih duduk di tanah rancangan manakala yang lain duduk di luar. Ramai dari kalangan anak peneroka ini sudah banyak duit dan mereka boleh melabur dalam koperasi ini," katanya.

Beliau menjelaskan, penubuhan koperasi itu bagaimanapun turut bergantung kepada peneroka asal tanah rancangan memandangkan mereka adalah pemilik tanah.

Tambahnya, koperasi tersebut juga bakal membolehkan anak-anak peneroka menguruskan tanah-tanah Felda yang terbiar selepas pemilik asalnya meninggal dunia.

"Ada tanah yang terbiar ini, kita nak tengok mana-mana tidak keluarkan hasil kita nak tingkat hasil supaya keuntungannya boleh dikongsi bersama. Ini yang kita nak bantu anak-anak Felda iaitu macam mana nak uruskan ladang tinggal ini.

"Masalah tanah terbiar ini bagaimanapun tidak serius. Ada yang diuruskan oleh Felda melalui buruh asing sebagai tenaga kerja dan ada anak peneroka tubuhkan syarikat untuk menguruskan tanah rancangan jiran mereka yang sudah meninggal dunia," katanya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Bagus buat koperasi ni.. Bleh dapat dividen tiap tahun.. Yang ada pengetahuan dan kemahiran bleh sumbangkan utk koperasi...