Selasa, 6 Julai 2010

Kit Siang cabar Muhyiddin Malaysia pertama

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) pagi tadi bersedia mengaku bahawa dalam dirinya yakin 'rakyat Malaysia pertama, bangsa Cina kedua' di Dewan Rakyat.

Bagaimana pun, katanya, beliau berbangga menjadi seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina.

"Saya bangga menjadi bangsa Cina, tetapi saya selalu percaya bahawa semua rakyat Malaysia merentasi jalur etnik, kebudayaan, kepercayaan dan perbezaan geografi wajar mencari titik persamaan yang sama," ujar beliau di lobi Parlimen.

Kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu sekali gus menjawab dakwaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya tindak tanduk Lim seakan pemimpin Cina yang cuba memecahbelahkan orang-orang Melayu, yang sebelum ini menyokong Umno BN.

"Dia (Muhyiddin) menuduh saya lebih rasis daripadanya dengan berkata, 'Tanya Lim Kit Siang sama ada dia akan mengaku Cina atau bangsa Malaysia'."

"Sebenarnya saya tidak memanggil Muhyiddin sebagai Ultra," katanya menafikan kenyataan berunsur perkauman yang dibuat Muhyiddin, semalam.

Disebabkan itu, beliau pula mencabar Ahli Parlimen BN, termasuk Muhyiddin supaya tidak membuat cabaran tanpa asas kepadanya.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka wajar membuat satu deklarasi yang selari dengan konsep sebenar Satu Malaysia; yang berbunyi 'Rakyat Malaysia Utama, Bangsa Melayu kedua' di Dewan Rakyat.

Cabaran itu, baginya, sekadar memastikan Satu Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya direalisasikan seperti yang dicanang-canangkan.

"Tujuan 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berprestasi, lebih produktif dan lebih kompetatif - dan akhirnya menjadi satu bangsa yang lebih besar, sebuah bangsa di mana negara berharap setiap rakyat Malaysia memandang diri masing-masing sebagai sebagai rakyat Malaysia yang utama manakala bangsa, agama, sembadan geografi atau latar belakang sosio-ekonomi sebagai yang kedua; di mana ekonomi, politik dan sosial sebagai entiti masyarakat," ujar beliau merujuk kepada suatu definisi rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri, Januari lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Model Ekonomi Baru (MEB) serta Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) tidak mencerminkan wawasan Satu Malaysia yang memberikan persaingan yang lebih sihat dari segi ekonomi, politik dan sosial kepada semua bangsa.

Ini kerana, wawasan itu menurut beliau, masih memelihara kepentingan ahli politik tertentu dalam Umno BN, atas nama bangsa dan negara.

Tiada ulasan: