Khamis, 22 Julai 2010

Kenyataan rambang rosakkan Paya Indah Wetland

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen semalam bahawa Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands mungkin tidak akan dipromosikan lagi oleh Kerajaan Persekutuan sebagai produk pelancongan amat mengecewakan.

Menurut Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor, jumlah pelancong yang berkunjung ke Paya Indah Wetlands telah meningkat dari 9,700 pelancong pada bulan Oktober ke Disember tahun 2008, kepada 24,527 pelancong pada tahun 2009 dan kini mencapai 11,800 pelancong setakat Jun 2010.

“Ini bermaksud bahawa purata bilangan pengunjung tidak mengalami penurunan,” kata beliau.

“Tetapi jika Menteri kerap membuat kenyataan tidak tepat mengenai keadaan di Paya Indah Wetlands, bilangan pengunjung pasti akan menurun. Ini mungkin menjejaskan keupayaan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pulangan kos projek tersebut yang telah menelan peruntukan sebanyak RM88 juta,” katanya.

Datuk Seri Ng telah membuat kenyataan tersebut ekoran dakwaan aktiviti perlombongan pasir secara tidak terkawal berterusan berlaku di kawasan berhampiran.

“Menteri Pelancong wajar memberi kenyataan berdasarkan fakta dan kebenaran, bukannya menuduh semata-matanya untuk memburukkan imej Kerajaan Selangor berhubung dengan isu pasir,” tegas Wong.

Beliau menjemput menteri berkenaan untuk membuat lawatan bersama ke Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands melalui pintu hadapan seperti pengunjung-pengunjung lain dan bukan jalan belakang yang berhampiran dengan kawasan lombong pasir, seperti yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang Negeri Selangor.

Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands disiapkan pada tahun 2001, tetapi terpaksa ditutup pada awal tahun 2005 akibat kelemahan pengurusan.

Taman rekreasi tersebut dibuka semula pada tengah tahun 2008 di bawah pengurusan Jabatan Perhilitan.

Wong juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar akan menganjurkan satu taklimat khas dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kaedah Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang digunakan oleh kerajaan negeri serta mengumpul pandangan daripada masyarakat sivil.

Tiada ulasan: