Selasa, 6 Julai 2010

Kekecohan 9 Jun: Speaker serah pada Bung Mokhtar

Hazlan Zakaria & Humayun Kabir

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyerahkan kepada Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) untuk menentukan cara bagi menangani kekecohan di lounge Parlimen yang melibatkan beberapa pembangkang dan ahli parlimen BN pada 9 Jun lalu.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Pandikar berkata berdasarkan laporan yang diterimanya daripada pegawai parlimen, beliau percaya terdapat kes prima facie terhadap M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) berhubung penglibatannya dalam insiden itu.

Katanya, secara umumnya beliau mahu mengelakkan perkara seperti itu berbangkit dan tidak mahu ada anggota parlimen dirujuk kepada jawatankuasa khas sekiranya terdapat usul dewan rakyat dibuat terhadap pihak tertentu.

"Saya sentiasa di sini untuk berbincang dan mengetengahkan bagi pihak kamu dan menyelesaikan perselisihan pendapat.

"Bagaimanapun dalam kes ini, saya tidak dapat melakukannya. Ia terpulang kepada kamu (Bung Mokhtar) dan kelab penyokong kerajaan (BNBBC)... untuk membawa isu ini sebagai satu usul," kata Pandikar.

Speaker berkata, Bung Mokhtar boleh membentangkan usul itu berdasarkan peruntukan Peraturan Tetap 27(3) sebagai anggota dewan di mana kepusannya boleh dibuat dalam tempoh dua minggu.

Pada kejadian itu, pemimpin DAP Perak, M Kulasegaran mendakwa ketika mengadakan perbincangan mengenai kekurangan biasiswa kerajaan yang ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera, mereka diganggu oleh dua ahli parlimen kerajaan itu.

"Parlimen adalah tempat untuk rakyat datang dan menyuarakan pendapat mereka. Rakyat sepatutnya tidak dihalang ke mari,” katanya sambil menambah kedua-dua MP Umno berkenaan tidak diundang menyertai perbincangan mereka.

MP Padang Serai N Gobalakrishnan mengesahkan perkara itu dan berkata Kulasegaran telah mendapatkan kebenaran daripada parlimen sebelum memulakan perbincangan mereka itu.

"Ini mesyuarat persendirian dan parlimen membenarkannya,” katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat lain yang menyertai perbincangan itu adalah MP Puchong Gobind Singh Deo, Menteri Besar Perak yang disingkirkan yang juga MP Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin, ADUN Sungkai Sivanesan, MP Kapar S Manickavasagam, MP Sungai Siput Xavier Jeyakumar, MP Bukit Mertajam Chong Eng, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Rasah Anthony Loke.

Seorang daripada tetamu berkenaan adalah Presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia yang mendakwa kekurangan biasiswa untuk pelajar bukan bumiputera.

Bagaimanapun mengikut versi ahli aprlimen Tangga Batu (Umno) Idris Harun, ketika menjejakkan kakinya di tempat rehat itu, beliau terdengar suara-suara yang memaki hamum Umno dan BN dan beliau cuba menegur mereka kerana tidakan berkenaan tidak berpatutan.

"Mereka memaki BN celaka, Umno celaka, jadi saya cuba menasihatkan mereka. Saya menyapa Kula (DAP Ipoh Barat) dan Kit Siang (DAP Ipoh Timur) dan memberitahu mereka bahawa saya ingin mendengar hujah mereka dan mengambil bahagian dalam perbincangan, tetapi ada di antara mereka mula memaki dan menghalau serta menolak saya,” katanya.

Tiada ulasan: