Ahad, 18 Julai 2010

Kaji Keperluan Sebelum Keluar Permit Import Telur, Ayam Dan Daging

BERNAMA

PADANG BESAR: Permit import bagi telur, ayam dan daging bagi musim perayaan hanya akan dikeluarkan jika kerajaan mendapati pengeluar dan penternak tempatan tidak berupaya memenuhi keperluan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, Jabatan Veteriner akan diminta mengkaji keperluan dan menghubungi pengeluar dan penternak sebelum permit import dikeluarkan.

"Kita mahu pastikan pengeluar dan penternak tempatan mendapat keuntungan daripada kegiatan mereka dan sebab itu mereka perlu dirujuk sebelum pengeluaran permit," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di sini, Ahad.

Noh berkata, sebelum ini kerajaan pernah menawarkan permit import kepada 29 syarikat ternakan ayam namun tiada syarikat yang berminat untuk mengimportnya kerana mengusahakan sendiri ternakan ayam dan memasarkannya lebih menguntungkan.

Beliau juga berharap Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) turut memastikan bekalan beras dan pulut sentiasa mencukupi menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Sebelum itu, semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan itu, beliau berharap anggota Umno mengutamakan perpaduan parti dan mengurangkan pertelagahan yang merugikan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, pertelagahan dalam parti akan menyebabkan Umno tidak dihargai dan dipinggirkan.

"Pengalaman Umno di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang amat memeritkan dan yang demikian Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai negeri-negeri perlu berusaha mempertahankan kekuatan.

Tiada ulasan: