Khamis, 8 Julai 2010

Harakah nafi terima surat tunjuk sebab

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya memberitahu beliau tidak pernah diberi apa-apa surat termasuk surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pertemuan dengan pihak kementerian itu Isnin lalu.

Menurutnya, agenda pertemuan itu hanya berkisar kepada perbincangan biasa berhubung isu yang dilapor Harakah dan beberapa ingatan dari KDN agar pihak akhbar itu berhati-hati dalam melaporkan isu yang dianggap sensitif.

Turut dibangkitkan berhubung kelambatan harakah menghantar lapan salinan ke KDN setiap kali selesai dicetak.

Tegasnya, isu surat tunjuk sebab dan permit penerbitan Harakah tidak pernah timbul dalam perbincangan tersebut.

"Saya tidak pernah menerima apa-apa surat dari KDN untuk tunjuk sebab.

"Saya hadir hanya memenuhi jemputan untuk berbincang dengan KDN," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam yang mendakwa Harakah telah diberi surat tunjuk sebab berhubung beberapa isu termasuk kegagalan mengahantar lapan salinan kepada KDN setiap kali dicetak.

Menurut Mahmood, kegagalan membuat penjelasan dalam tempoh tujuh hari bermula kelmarin akan membawa masalah kepada pembaharuan permit penerbitan akhbar itu.

"Dakwaan itu tidak betul. Kita bukan gagal hantar lapan salinan tersebut, kita cuma lewat sahaja," jelasnya lagi.

Permit penerbitan Harakah berakhir pada semalam 7 Julai 2010.

Isnin lalu, Harakah dipanggil ke KDN untuk satu perbincangan "saling faham memahami" yang dipengerusikan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd Radzi.

Turut hadir ialah Datou Zaitun Ab Samad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran.

Sementara itu, pihak pengurusan Harakah ketika dihubungi hari ini memaklumkan surat permohonan pembaharuan permit telah dikemukakan kepada KDN April lalu.

Difahamkan, ketika kali terakhir dihubungi pihak Harakah kelmarin, pihak KDN memaklumkan urusan permohonan permit tersebut belum siap.

Tiada ulasan: