Ahad, 4 Julai 2010

Dua laporan SPRM terhadap Taib


images FREE MALAYSIA TODAY


KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya terhadap Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang didakwa mempunyai aset berjumlah RM3 bilion, baru-baru ini.

Aset itu didakwa dimiliki Taib melalui empayar perniagaan antarabangsanya hasil daripada pendapatan haram.

Selain itu, laporan terhadap beberapa pemimpin Sarawak juga turut dikemukakan AMK.

Kedua-dua laporan itu mendakwa Taib merupakan pemimpin politik korup yang menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi, seperti yang dilaporkan dalam artikel di portal berita.

Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata, pihaknya telah pun membuat laporan SPRM di Sarawak dan akan membuat laporan di pejabat SPRM seluruh negara.

"Kami harap SPRM tidak takut menangani laporan ini memandangkan ia melibatkan kes berprofil tinggi," katanya.

"Apa yang menjengkelkan alasan SPRM akan menyiasat aduan itu pejabat tetapi Peguam Negara berkuasa menentukan sama ada mahu mendakwa atau tidak.

Ahmad Nazib mendakwa Taib mempunyai kekayaan yang besar dengan mengaut hasil kekayaan sumber khazanah negeri dan menyalurkannya kepada anak-anaknya, Abu Bekir, Jamilah dan Sulaiman, serta saudaranya, Onn Mahmud.

Aset luar negara

"Mereka sangat kaya sehingga mampu membeli aset luar negara. Susah untuk menggambarkan Ketua Menteri yang mempunyai pendapatan RM20,000 sebulan mampu memperolehi aset berbilion ringgit dengan cara yang sah.

Laporan di Putrajaya itu dibuat anggota AMK Ting Cek Ming, Kung Chin Chin dan John Brian Anthony.

Ting, bersama Ahmad Nazib dan James Wong sebelum ini cuba membuat laporan yang sama di Shah Alam minggu lalu, namun membatalkannya kerana pegawai SPRM di Shah Alam enggan memberikan mereka salinan laporan yang dibuat.

"Kini kami mempunyai bukti salinan laporan yang dikemukakan beserta tandatangan pegawai SPRM," katanya.

Menurut laporan, keluarga Taib mempunyai aset di Kanada, Australia dan Britain.

Laporan itu turut mendakwa Taib beserta keluarga dan teman rapatnya mempunyai 85% saham dalam syarikat konglomerat terbesar di Sarawak, iaitu Cahaya Mata Sarawak.

Tiada ulasan: