Ahad, 18 Julai 2010

Cadangan Larry Sng Jadi Calon BN Tidak Boleh Diterima - PRS

BERNAMA

SIBU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak akan menerima cadangan agar bekas anggotanya Larry Sng Wei Shien menjadi calon Barisan Nasional (BN) secara langsung bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Penerangan parti Wilson Nyabong berkata ini kerana secara tradisinya kerusi Pelagus adalah milik PRS.

"Situasi terdahulu yang melibatkan kerusi DUN Belaga dan Parlimen Mambong berlaku kerana kedua-dua kerusi itu diminta oleh parti komponen BN yang lain. Tidak ada parti komponen BN yang minta bertanding di Pelagus," katanya kepada pemberita, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai menolak khabar angin yang menyatakan Sng yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri akan mempertahankan kerusi itu menerusi cara tersebut.

Nyabong berkata PRS juga sudah mengenal pasti calon yang akan menggantikan Sng.

"Kami telah menjelaskan kepada pengundi di kawasan itu bahawa Larry bukan lagi anggota parti, justeru beliau tidak boleh mewakili mereka atau BN apabila penggalnya (sebagai Anggota Dun Pelagus) berakhir.

"Mereka, khususnya pengundi wanita memahami situasi itu dan menyatakan sokongan hanya kepada calon yang dipersetujui PRS dan BN," katanya.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini Sng masih wakil BN dan akan berkhidmat sebagai Menteri Muda sehingga DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Beliau berkata PRS juga tidak akan memberi muka kepada mana-mana pihak atau individu yang cuba menggugat kestabilan parti termasuk meletakkan calon bertanding menentang calon rasmi mereka khususnya bagi kerusi Pelagus dan Ngemah.

Katanya PRS kehilangan kerusi Ngemah pada pilihan raya negeri 2006 kerana sekumpulan anggota parti itu yang tidak berpuas hati telah membantu pihak lawan.

"Kami telah dapat mengatasi pelbagai masalah di dalam parti. Kami mahu menang dalam semua sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada kami pada pilihan raya negeri yang akan datang," katanya.

Tiada ulasan: