Rabu, 21 Julai 2010

Bakti sumbang Adibah Amin RM50,000

TERKINI -BERNAMA

KUALA LUMPUR— Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Tokoh Persuratan Melayu, Adibah Amin yang diserang angin ahmar tiga tahun lepas.

Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata sumbangan itu bagi menampung perbelanjaan rawatan dan pembelian ubat.

"Setelah kami mendengar bahawa Kak Adibah telah ditimpa nasib yang tidak baik, kami telah berusaha untuk mencari dana. Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri dan beliau telah mencari duit tersebut daripada 1Malaysia Development Berhad.

"Kami telah mengambil keputusan untuk menyumbang dari segi wang, bukannya daripada anugerah. Buat masa sekarang ini Kak Adibah memang memerlukan perbelanjaan bagi rawatan beliau," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada Adibah di Bangunan Siti Hasmah di sini hari ini.

Rosmah berkata keputusan itu dibuat berasaskan sumbangan Adibah terhadap bidang kesusasteraan dan penulisan terutamanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Adibah, 74, yang berkerusi roda terharu dan menghargai sumbangan yang diberikan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sumbangan ini," kata Adibah yang ditemani adik perempuannya, Fadzilah.

Beliau kini mendapatkan rawatan fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan semakin beransur pulih.

Selain dihormati sebagai ahli bahasa dan penulis dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, Adibah juga pernah berlakon watak pensyarah dalam filem popular "Adik Manja" yang dibintangi Noor Kumalasari.

Beliau menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik untuk filem yang sama pada tahun 1980.

Antara anugerah yang pernah diterima Adibah ialah Anugerah Penulisan SEA (1983), Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (1996) dan Anugerah Kesusasteraan Johor (1996).

Tiada ulasan: