Rabu, 14 Julai 2010

Akta kebebasan maklumat untuk ketuanan rakyat

Harakahdaily


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor membentangkan Akta Kebebasan Maklumat dalam sidang DUN Selangor dan berharap ia akan diikuti oleh negeri-negeri lain termasuk kerajaan pusat.

Exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong (gambar) ketika membentangkan usul itu berkata, akta ini bertujuan untuk memberikan hak kepada rakyat mendapatkan maklumat dan seterusnya menegakkan prinsip ketuanan rakyat.

"Semenjak pembentukan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat pada bulan Mac 2008, ketuanan rakyat dijadikan prinsip tunjang yang mempengaruhi segala tindakan dan keputusan yang diambil," kata beliau ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama.

Katanya, prinsip ketuanan rakyat inilah yang menjadi pendorong kepada segala usaha Kerajaan Negeri untuk mereformasikan, memperbaiki dan mempertingkatkan pentadbiran negeri Selangor.

"Sepertimana yang Ahli-Ahli Yang Berhormat ini fahami, rakyatlah yang memberi peluang kepada kita semua untuk berkhidmat. Dan rakyat juga yang akan merampas balik peluang tersebut jika kita lupa hakikat ini," katanya.

Katanya, ketelusan merupakan salah satu aspek utama yang cuba diketengahkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Kesetiaan Pakatan Rakyat terhadap prinsip pentadbiran yang terbuka merupakan salah satu sebab utama mengapa rakyat telah memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang lalu, tambah beliau.

Pendirian Kerajaan Negeri terhadap ketelusan telah dibuktikan dengan jelas sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat. Misalnya, sidang Dewan Negeri Selangor ini disiarkan sepenuhnya melalui Internet, tambah beliau dalam nucapannya.


Selain itu, katanya, Menteri Besar juga telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk mendorong prinsip ketelusan.

Antaranya, beliau telah menggunakan hak beliau sebagai Menteri Besar untuk mendeklasifikasikan dokumen-dokumen demi kepentingan rakyat, seperti dokumen-dokumen berkenaan dengan Yayasan Basmi Kemiskinan, Projek Revolusi Hijau Bukit Cerakah, Projek Perumahan Bukit Botak, isu perolehan hasil kerajaan daripada projek penanaman semula hutan dan banyak lagi.

"Namun begitu, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat masih gigih berusaha untuk mempertingkatkan taraf pentadbiran dan menjadikan ketelusan sebahagian daripada budaya kita," katanya.

Katanya, maklumat merupakan mata wang demokrasi. Begitulah ungkapan yang dipetik dari Thomas Jefferson.

Kesedaran bahawa kebebasan maklumat merupakan asas kepada sistem demokrasi telah mendorong lebih dari 80 negara di merata dunia, dari Sweden ke Filipina untuk memperkenalkan undang-undang yang memudahkan dan memperdayakan hak dan peluang rakyat untuk memperolehi maklumat dari pihak kerajaan.

Undang-undang di negara Sweden misalnya telah menjaminkan kebebasan maklumat sejak tahun 1766, manakala negara jiran kita seperti Thailand, telah mula melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat mereka.

"Oleh itu, boleh dikatakan bahawa negara kita jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain dalam mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat dari pihak kerajaan," tegas beliau.

Kerajaan Negeri Selangor, tambah Elizabeth, tidak berhasrat untuk menunggu Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan.

"Maka kita menjadi peneraju ke arah menggubal Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 ini dengan kerjasama, pandangan dan sumbangan dari NGO-NGO antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Kewartawanan Bebas (Centre For Independent Journalism, CIJ), Transparency International dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam," beritahu beliau.

Kerajaan yang telus merupakan kerajaan yang lebih cekap, bertanggungjawab dan amanah. Ini merupakan antara sebab-sebab utama kerajaan negeri memperkenalkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Selangor 2010 ini, tambah beliau.


"Kita juga harap amalan rasuah dikurangkan, dan kebertanggungjawaban dipertingkatkan dalam segala keputusan pihak kerajaan. Sudah tentu ini akan meninggikan keyakinan pelabur-pelabur terhadap negeri Selangor, di samping membaikpulih kepercayaan kepada sistem demokrasi dan pemerintahan," katanya.

Melalui rang undang-undang ini, rakyat Selangor akan dipulangkan hak yang sepatutnya dimiliki mereka. Rang undang-undang ini bagaikan cahaya matahari yang memberi sinaran kepada segala tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri. Dengan izin, “Sunlight is the best disinfectant.” , tambah Elizabeth.

Melalui rang undang-undang ini, setiap rakyat diberi peluang untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki dari setiap jabatan di bawah Kerajaan Negeri.

Inilah yang sepatutnya dijadikan amalan biasa kerana hakikatnya Kerajaan hanya diberikan amanah untuk mengurus dan bukan bermaharajalela bertindak sesuka hati, tambahnya.

Melalui rang undang-undang ini, seorang pegawai maklumat akan dilantik oleh setiap jabatan di bawah Kerajaan Negeri, dan pegawai ini diberi tugas dan tanggungjawab untuk menyelaraskan pemberian maklumat.
Pegawai maklumat ini juga akan memastikan maklumat-maklumat yang penting disimpan dan diuruskan dengan betul ataupun, dengan izin, systematising archives.

"Kita berharap kelulusan rang undang-undang akan memberi ilham dan dorongan kepada negeri-negeri lain dan juga Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya.

"Saya difahamkan oleh laporan akhbar awal bahawa Peguam Negara telah menyuarakan keinginan pejabat beliau untuk mengkaji rang undang-undang ini," katanya.

Kerajaan Negeri yakin kelulusan rang undang-undang ini akan membawa pentadbiran negeri Selangor ke era yang baru dan berbeza, dimana ketelusan, keterbukaan dan kepercayaan merupakan asas dan budaya semua, dari pegawai kerajaan sehinggalah kepada Menteri Besar sendiri, tambah beliau.

Tiada ulasan: