Isnin, 19 Julai 2010

Air : Pusat Digesa Bekerjasama, Bukan Tuding Jari

TV SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor tidak harus dipersalahkan andai berlakunya krisis air yang diuar-uarkan melanda Lembah Klang sebelum 2014.

Hal ini kerana menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, setiap negara seharusnya sudah membuat persiapan awal untuk berhadapan dengan perubahan iklim termasuk Malaysia.

" Pada pandangan saya, isu air ini mesti ditangani dengan beberapa perspektif. Satu kita ada satu masalah yang dipanggil perubahan iklim.Semua negara dalam dunia ini termasuk Malaysia mesti bersedia" ujar belian kepada Tv Selangor.

"Oleh kerana itu semua negeri di Malaysia harus peka terhadap masalah ini bukan sahaja Selangor atau Kula Lumpur. Semua negeri" tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mengatakan tanpa projek Langat 2, Lembah Klang terpaksa membuat catuan air menjelang 2014.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail juga terus mendesak dengan berkata paras loji air syarikat itu hanya cukup untuk menampung bekalan air bersih secara harian kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Charles bagaimana meminta Syabas dan kerajaan BN untuk membentangkan data-data yang menyokong dakwaan mereka itu.

" Saya hendak tanya mereka manakah nombor-nombor yang mengatakan bahawa Selangor dan Wilayah Persekutuan akan mengalami masalah air".

"Sehingga hari ini mereka mengatakan Selangor akan mengalami kekurangan air. Tetapi mereka tidak memberikan apa-apa maklumat untuk memberi satu gambaran kepada orang ramai bahawa kemungkinan besar bahawa air tidak cukup" soalnya lagi.

Terdahulu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu berhubung pembinaan loji Langat 2 bersama rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

"Bagaimanapun, kerajaan persekutuan pula mahukan dua isu itu dibincangkan berasingan. Tetapi kami (kerajaan negeri) merasakan kedua-dua isu harus dilihat dan dibincangkan sebagai satu isu" ujar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipetik dari BERNAMA.

Menurut Charles, kerajaan seolah-olah terdesak apabila terus-terusan menekan kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembinaan pembinaan loji rawatan air Langat 2.

" Sekarang mereka bertubi-tubi menyerang dan menentang kerajaan negeri Selangor khususnya mereka dalam Barisan Nasional sebab mereka hendak tanah untuk pembinaan terowong-terowong untuk membawa air dari Pahang ke Selangor".

" Mereka juga telah pinjam wang dari Jaica. Jaica ialah bank pembangunan di Jepun dan mereka harus bayar balik faedah dan sebagainya. Oleh kerana itu, jika projek ini dilambatkan, maka kos itu akan naik.Itu yang dia takut" ulas Charles.

Dalam pada itu, Charles juga mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor turut bersedia berhadapan dengan masalah perubahan iklim ini dengan langkah yang lebih proaktif tanpa melibatkan sebarang pembaziran.

Bahkan Charles juga menggesa agar hutan-hutan terus dipelihara dan digazetkan sebagai hutan simpan bagi mengelakkan berlakunya masalah yang tidak diingini.

" Pada saya kerajaan negeri Selangor juga harus menangani masalah ini dengan membawa dasar-dasar yang baru. Satu cara yang harus diperaktikkan ialah tadahan air hujan".

Tiada ulasan: