Jumaat, 2 Julai 2010

Ahli majlis Pahang masih kosong

Abdul Rahim Sabri

Kerajaan Pahang memerlukan masa bagi mengisi kekosongan ahli majlis di negeri itu untuk memastikan calon yang dipilih benar-benar jujur dan bertanggungjawab melaksanakan tugas, kata exco terbabit.

Exco kerajaan tempatan Datuk Hoh Khai Mun berkata kerajaan negeri belum melantik ahli majlisnya kerana prosesnya "mengambil masa dan melalui peringkat demi peringkat".

"Sekarang kita sedang menyiapkan kertas cadangan (calon-calon). Pengagihan kuota (kepada parti komponen) sudah dibuat. Ia melibatkan beberapa fasa. Dan kita terima banyak cadangan bagi memastikan keperluan ahli majlis.

"Selepas kita selesaikan (meneliti) cadangan (calon), akan ada proses pemilihan untuk memastikan calon-calon yang jujur dan bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Bagaimanapun Hoh yang juga ADUN Bilut berkata beliau tidak dapat memastikan tempoh bagi menyelesaikan proses tersebut.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan mula membuat pemilihan ke jawatan itu dalam satu mesyuarat khas "dalam masa terdekat"

Hoh diminta mengulas mengenai perlantikan ahli majlis di Pahang yang kosong apabila kesemua ahli majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) tamat kontrak masing-masing sejak kelmarin.

Katanya, dalam perlantikan kali ini, selain diberikan berdasarkan kuota parti komponen BN, ia juga buat pertama kali diberikan kepada kumpulan profesional dan juga wakil-wakil badan ikhtisas di negeri itu.

Dijangka selesai dalam sebulan

Menurutnya, walaupun ahli majlis masih belum dilantik, rakyat tidak perlu bimbang kerana pengurusan pihak berkuasa tempatan terus melaksanakan tanggungjawab di bawah pemantauan kerajaan negeri.

"Pengurusan pihak berkuasa tempatan diteruskan, di bawah pemantauan dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Sementera itu, seorang lagi exco kerajaan negeri itu Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak berkata isu kekosongan ahli majlis di kawasan perbandaran negeri itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat exco negeri pada Rabu depan.

"Tetapi tak semestinya diluluskan. Kita sudah ada senarai. Kita hantar kepada exco (kerajaan tempatan) untuk diluluskan," katanya yang juga ADUN Chenor.

Katanya, majlis perlantikan itu dijadualkan berlangsung penghujung bulan ini.

Beliau yang juga ketua Umno bahagian Maran berkata, di bahagiannya sendiri, mereka telah mendapatkan kesepakatan daripada rakan lain komponen BN bagi membuat perlantikan ahli majlis baru.

Tan berkata bahagiannya "tidak menghadapi masalah" kerana pembahagian wakil bagi mengisi jawatan tersebut sudah pun dilakukan.

Menurutnya, mereka telah mencadangkan 37 nama, masing-masing 24 daripada Umno dan profesional, 11 daripada MCA dan dua daripada MIC.

Tiada ulasan: