Khamis, 3 November 2016

[KEMASKINI] Media salah lapor kenyataan Hadi, PAS nafi mahu runding satu lawan satu

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS menolak tanggapan bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti pembangkang dalam memastikan satu lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. 
 
Sebaliknya Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz menganggap, kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam diputar belit oleh pihak media.
 
Ujarnya, kenyataan 'jangan kacau rumah tangga kami' sebagaimana disebut Hadi itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
 
"Sebagaimana Hadi kata semalam perbincangan PAS adalah dengan parti yang tidak kacau rumah tangga PAS. Yang media sebut akan ada kerjasama dgn PH itu adalah kenyataan media bukan daripada Hadi. Saya ikuti video itu semalam dan jawapan Hadi pendek sahaja dan beliau sebut bahawa jangan kacau rumah tangga. 
 
"Itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga PAS. Jadi kita tahu siapa yg kacau dahulu. Apa yang Hadi sebut semalam itu bukan keputusan baru. Bukan pusingan-U bahkan keputusan lama bahawa PAS hanya berunding dengan parti-parti yang tak ada rekod buruk dengan PAS Dalam sejarah hubungan dalam Pakatan Rakyat dahulu," jelasnya kepada pemberita ketika di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Semalam Hadi memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,' sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi tradisi milik mereka.
 
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Nik Abduh kemudiannya diajukan mengapa menyifatkan kenyataan Hadi diputar belit, sedangkan ia menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan pertandingan satu lawan satu.
 
"Tetapi beliau tidak merujuk kepada PH. Beliau buat kenyataan umum bahawa PAS memang setuju jika diadakan pertandingan satu lawan satu iaitu dua penjuru dan asasnya kkta bersetuju. Namun perbincangan itu tidak merujuk kepada perbincangan (bersama) PH. PH itu media sahaja tambah," balas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
 
Menegaskan lebih lanjut, PAS katanya tidak akan berunding dengan DAP meskipun tujuan satu lawan satu tetap dimahukan oleh pembangkang.
 
"Isu DAP kita sudah jawab dahulu yang mana kita tidak akan berunding dengan DAP. Strategi menghadapi PRU14 adalah strategi takkan saya nak buka? Saya pun tak tahu strategi itu bagaimana," tegasnya sambil menambah perbincangan hanya dilakukan bersama parti yang tidak mengganggu PAS sahaja.
 
Sementara itu dalam isu berlainan, Nik Abduh menyerahkan jemputan PH untuk menghadiri Konvensyennya 12 November depan kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
 
"Itu perlu tanya Setiausaha Agung PAS," katanya.
 
Semalam Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memaklumkan sudah menghantar jemputan kepada PAS untuk menghadiri konvensyen PH dan akan menghantar jemputan kedua untuk membincangkan strategi satu lawan satu selepas parti berkenaan menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian.
 
 

Tiada ulasan: