shahbudindotcom
Lawatan
Najib Razak ke China sebagaimana yang dilaporkan media semalam, telah
menghasilkan 14 memorandum persefahaman bernilai RM144 bilion, suatu
jumlah terbesar dalam sejarah hubungan Malaysia dengan mana-mana negara
asing.
Ia
bukan saja merangkumi pembangunan insfrastruktur seperti untuk Bandar
Malaysia, landasan keretapi pantai timur, pelabuhan, kilang keluli,
malah termasuk juga pemberian lesen bank kepada sebuah syarikat China.
Jika
diambil kira dengan penjualan Edra Energy, 60 peratus saham Bandar
Malaysia, juga kepada konsortium China serta pembinaan sebuah
universiti China di Cyberjaya sebelum ini, beralihnya arah kiblat
ekonomi Malaysia ke negara tersebut sebenarnya menjadi tambah ketara
lagi.
Negara
kita kini, terutama sejak bergelut dengan isu 1MDB, seolah-olah sudah
menukar dasarnya secara drastik menjadi dasar pandang ke China.
Penyerahan secara besar-besaran kontrak ekonomi dan pertahanan, termasuk memberi lesen bank kepada sebuah negara asing, bukanlah amalan biasa sebelum ini. Ketika Tun Mahathir memperkenalkan dasar pandang ke timur pun, ia tidaklah sampai sebegini rupa.
Dalam
dasar pandang ke timur, yang ditekankan ialah pemindahan teknologi dan
sikap rakyat Jepun serta Korea dalam bekerja dan membangunkan negara.
Bagaimanapun, berbeza dengan China, negara tersebut bukan saja menjadi
kuasa ekonomi, tetapi juga akan hadir dengan segala-galanya, termasuk
pemindahan manusia ke negara kita.
Kenapa
negara China terlalu diutamakan? Tiadakah syarikat-syarikat dalam
negara sendiri yang mampu melaksanakan projek-projek tersebut?
Tahun-tahun
awal Najib menjadi Perdana Menteri, kiblat dan idolanya adalah Amerika.
Beliau dikesan sebagai pemimpin Malaysia paling kerap berkunjung dan
melawat negara tersebut. Untuk tujuan berbaik-baik itu, Najib turut
melantik rakan baiknya, Allahyarham Jamaluddin Jarjis sebagai Duta Besar
ke Amerika.
Tetapi
sejak Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman terhadap Jho Low dan anak
tirinya, Riza Aziz berkaitan harta-harta yang didakwa dibeli menggunakan
wang 1MDB yang dilencongkan, kiblat dan idola ke arah Amerika itu
seolah-olah mula pudar.
Malah
dengan Najib turut membawa anak tirinya yang sedang disaman oleh
Jabatan Kehakiman AS menaiki pesawat rasminya ke China, ia bagaikan
isyarat halus Najib kepada Amerika bahawa beliau kini sudah ada "tuan
baru" di sisinya.
Kesediaan
syarikat China membeli Edra Energy, sayap milik 1MDB dan mengetuai
konsortium membeli 60 peratus Bandar Malaysia, adalah permulaan kepada
pergantungan kepada negara tersebut. Ia kemudian diikuti dengan
pembinaan rel laju ke Singapura serta ke Pantai Timur, juga diserahkan
kepada syarikat China.
Melalui
penyerahan blok ekonomi besar-besaran kepada China, kita semua,
termasuk Melayu, Cina dan India seharusnya mula bimbang dengan kesan
ekonomi, sosial dan budaya yang mungkin tiba-tiba mengancam negara.
Jika
sekarang ini pun kemasukan warga China secara haram atau tiba-tiba
hilang tidak dapat dikesan setelah masuk ke negara kita sudah dianggap
begitu besar, bayangkan apa akan berlaku setelah mereka diberikan kuasa
ekonomi yang lebih meluas?
Dalam
kes pembinaan rel keretapi ke Pantai Timur misalnya, tidak mustahil
semua bandar-bandar kecil yang terlibat dengan projek tersebut selepas
ini akan dipenuhi dengan pekerja warga China, yang kemudian tentunya
akan tumbuh pula restoran, pusat hiburan, pusat urut kaki dan
bermacam-macam lagi perniagaan yang didatangkan dari Tembok Besar sana.
Banyak
bandar akan bertukar menjadi bandar satelit China, perniagaan baru dari
China akan turut muncul satu demi satu dan ini sekaligus akan membunuh
perniagaan orang-orang Cina sendiri.
Akhirnya,
bukan saja ancaman ekonomi, masalah sosial dan budaya akan melanda
masyarakat. Ia malah akan turut memberi ancaman lebih besar kepada
keharmonian keluarga kaum Cina negara kita kerana merekalah yang
paling terdedah kepada masalah sosial tersebut.
Dari
segi ekonomi pula, oleh kerana syarikat-syarikat China itu datang
dengan wang, ia juga akan meningkatkan pemilikan asing yang lebih ketara
dalam hartanah dan perumahan pada tahun-tahun akan datang. Tidak
mustahil akhirnya nanti kerajaan sendiri terpaksa memberi kelonggaran
dari segi kouta dan pemilikan harta kepada mereka.
Bukan
kita menolak pelaburan asing, tetapi sikap berlebih-lebihan Najib dalam
konteks ekonomi China ini, terutamanya setelah terhutang budi kerana
membantu menyelesaikan kemelut 1MDB, ia seharusnya menimbulkan
kebimbangan kepada semua, apatah lagi sikap beliau yang ketara memusuhi
DAP yang disokong oleh kira-kira 80 peratus orang Cina dalam Malaysia
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan