Sabtu, 17 November 2012

SPR ‘akui’ ada kes daftar seorang pengundi dua kali

roketkini.com

KUALA LUMPUR- SPR dikritik kerana gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang berdaftar dua kali sebagai pengundi.

Ia berikutan pendedahan kepada penemuan SPR terhadap 60 individu yang cuba berdaftar sebagai pengundi pos (polis/tentera) pada masa yang sama sebagai pengundi biasa.

Dalam pertemuannya dengan SPR, Pakar Strategi Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, perkara itu jelas merupakan perlanggaran kepada Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“Seksyen ini menyatakan sesiapa yang ‘diketahuinya membuat apa-apa pernyataan palsu dalam atau berkaitan dengan apa-apa permohonan supaya dimasukkan ke dalam mana-mana daftar pemilih’ jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali,”

Paling mengecewakan, menurut Kian Ming, SPR enggan mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang cuba memanipulasi daftar pemilih sambil merujuk kepada Appendik 1.



“Walhal pengundi ini jelas mengetahui adalah satu kesalahan jika dia mendaftar sebanyak dua kali, satu sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama sebagai pengundi biasa sepertimana yang tertulis pada Borang A Pendaftaran Pemilih (Apendik 2),



“Kehadiran pihak dan individu yang tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi daftar pemilih juga dikesan dalam suku keempat 2011 senarai daftar pemilih yang telah diserah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya,” ujarnya.

Paling mengejutkan, katanya, jawatankuasa itu mendapati seramai 282,086 pengundi didaftar sebelum mereka mencecah umur 21 tahun. (Apendik 3)

“Selagi SPR tidak mengambil tindakan terhadap individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab itu, percubaan untuk memanipulasi daftar pemilih kita akan berterusan,” katanya.

Dr Ong Kian Ming yang juga Pengarah Projek, Analisis Daftar Pemilih Malaysia (MERAP) berkata, sekiranya SPR serius untuk memelihara integriti dan ketepatan senarai pemilih, mereka bukan saja perlu membatalkan nama terbabit malah memadamkannya dalam rekod SPR sendiri.

“Apabila ditanyakan kepada SPR, mereka mengakui sehingga hari ini tidak ada seorang pun yang didakwa mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana memanipulasi daftar pemilih,” ujarnya.-roketkini.com




Tiada ulasan: