Oleh Uthaya Sankar SB |
Apabila pulang ke rumah pada 19 September, saya menemui sekeping poskad yang dialamatkan kepada saya. Sebaik sahaja meneliti poskad berkenaan, saya menjadi amat marah.
Bukan marah melihat wajah ceria Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak yang tersenyum di sisi tulisan “Selamat Menyambut Hari Malaysia, 16 September 2012”.
Sebaliknya terkejut, marah, geram dan kecewa dengan maklumat peribadi saya yang terpampang di belakang poskad.
Syaitan mana pula yang “menjual” maklumat saya dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada parti politik, lalu dicetak sewenang-wenangnya di belakang kad ucapan itu?
Demikian persoalan yang timbul dalam minda dan langsung sahaja saya luahkan pada ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook sebagai makluman kepada rakan-rakan. Saya sebutkan juga frasa “haram jadah” iaitu frasa murni yang dipopularkan oleh Perdana Menteri tercinta mulai 8 Mei 2012.
Tentu sahaja saya berhak untuk berasa gembira dan bangga menerima kad ucapan (poskad) yang kononnya dihantar sendiri oleh Najib. Akan tetapi, hanya rasa marah, kecewa dan menyampah yang lahir dalam hati dan minda kerana maklumat peribadi saya (maklumat pengundi) dimanipulasi bagi mengirim kad ucapan berbaur politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Saya percaya bahawa saya bukan satu-satunya penduduk di negeri Selangor yang menerima poskad berkenaan. Tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa setiap pengundi berdaftar di negeri ini yang ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat menerima kad tersebut.
Apabila saya meluahkan perasaan marah dan kecewa di Facebook, seorang rakan menulis komen bahawa “syaitan tak perlu jual data pengundi sebab syaitan ada network hebat”. Manakala seorang lagi berkata, “kalau sudah menyangkut politik, semua jadi mungkin”.
Clifford Tan memberikan pendapat bahawa “kalau bukan haram jadah, namanya bukan syaitan” manakala Shahrul mengatakan, “itu tandanya Perdana Menteri Malaysia mengetahui kewujudan seorang penulis yang menepati janji”.
Seperti yang saya nyatakan tadi, pasti Najib tidak tahu/kenal saya. Sebaliknya, saya yakin bahawa kesemua pengundi berdaftar di Selangor menerima kad ucapan propaganda “Sayangi Selangor, Yakini BN”. Turut dicetak talian hotline Pusat Khidmat Rakyat BN Selangor (Pakar) serta logo-logo 1 Malaysia, Barisan Nasional (BN), Sayangi Selangor Yakini BN dan Pakar.
Apabila saya memaklumkan perkara itu, seorang rakan yang berasal dari Kedah (dan pengundi di sana) menyatakan pandangan berhubung kemungkinan itu adalah tanda meraih undi secara halus. “Saya sudah hantarkan kad ucapan, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti undilah saya,” tafsirnya.
Pandangan itu segera mengingatkan saya pada frasa “kini masa balas budi” yang hangat diperkatakan. Jika benarlah tanggapan, andaian dan tafsiran bahawa pengiriman kad ucapan (poskad) itu sebenarnya bertujuan meraih undi, maka saya tidak menolak kemungkinan majoriti penduduk di negeri Selangor semakin meluat dan termuntah-muntah apabila meneliti kad berkenaan.
Seorang lagi rakan yang berasal dari Sabah dan kini bekerja di Shah Alam serta menggunakan alamat di sini memberitahu bahawa dia turut menerima kad ucapan berbentuk propaganda itu. “Inilah akibatnya menukar alamat pengundian dari Sabah ke Selangor,” keluhnya.
Harus saya nyatakan bahawa segala pandangan, luahan rasa dan komentar yang diberikan adalah luahan rasa individu (penduduk) yang kecewa apabila menerima kad ucapan berupa propaganda politik. Lebih parah apabila maklumat pengundi dicetak secara terang-terangan di belakang poskad.
Saya ada menyebut bahawa saya pasti berasa gembira jika Perdana Menteri tercinta yang mengirim poskad berkenaan — tanpa menafikan hakikat bahawa bukan beliau yang sebenarnya menguruskan pengiriman kad itu.
Bagaimanapun, pada hakikatnya, kad itu adalah daripada “Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor” seperti yang tertera pada poskad itu sendiri.
Suatu strategi pemasaran atau gimik politik yang agak baik. Bagaimanapun, sebagai seorang pengamal media dan perunding media, saya dapat melihat dengan jelas bahawa kad itu bukan kiriman rasmi daripada Perdana Menteri tercinta. Sebaliknya daripada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor.
Maknanya, poskad itu dikirim oleh parti pembangkang di Negeri Selangor sebagai usaha memancing undi. Tidak mengapalah. Itu strategi yang mahu mereka gunakan di sebalik samaran “Selamat Menyambut Hari Malaysia”.
Namun, sebagai seorang rakyat dan pengundi berdaftar, perkara yang menjadi persoalan dan punca kemarahan adalah apabila sebuah parti politik — tidak kira pemerintah atau pembangkang — mengirim kad kepada saya dengan terang-terangan memaparkan maklumat peribadi saya pada kad itu.
Apakah SPR dengan mudah boleh menyerahkan maklumat pengundi kepada parti-parti politik? Atau adakah syaitan tertentu yang melakukannya secara amat licik tanpa disedari SPR?
Soalan lebih penting: Apakah SPR sudah mengumumkan tarikh untuk parti-parti politik mula berkempen menjelang PRU-13? Kad ucapan yang dikirim ini adalah secara terang-terangan berniat dan bermotif kempen memancing undi dan menumbangkan Kerajaan Negeri Selangor.
Sewaktu isu kad ucapan itu sedang dibincangkan di Facebook pada 19 September, seorang rakan yang hanya dikenali sebagai Syed Jay bertanya: “Kalau encik menerima kad sedemikian daripada parti pilihan encik, adakah reaksi encik sama seperti di atas? Saya ingin tahu adakah reaksi di atas tercetus kerana Encik marah kerana maklumat encik diambil tanpa kebenaran atau encik memang meluat dengan parti itu?”
Dengan tenang, saya menjelaskan kepada pemuda berkenaan yang khabarnya berasal dari Kuala Terengganu dan kini tinggal di Kuala Lumpur bahawa saya tiada mana-mana “parti pilihan”. Sesungguhnya kalau kerajaan negeri Selangor atau Menteri Besar Selangor mengirim kad seperti ini pun pasti saya akan berikan reaksi yang sama.
Sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang, isu di sini adalah sama: mengapa mengirim kad ucapan berupa propaganda politik dan berkempen memancing undi serta memaparkan maklumat pengundi secara terbuka?
Saya juga terpaksa mengulangi kepada Syed Jay bahawa isu di sini adalah “syaitan mana pula yang ‘menjual’ maklumat saya dalam daftar pengundi SPR kepada parti politik, lalu dicetak sewenang-wenangnya di belakang kad ucapan itu”. Itulah persoalannya; bukan soal parti politik mana kerana bagi saya, parti politik tetap parti politik dan politikus tetap politikus.
Sesungguhnya saya tidak menyokong mana-mana parti politik walaupun mempunyai ramai kenalan (dan musuh) daripada kalangan politikus. Orang-orang politik yang saya kenali adalah sebagai sahabat di luar lingkungan politik. Kita perlu sedar bahawa masih ada dunia yang amat luas selain daripada “tempurung” parti politik.
Walaupun selepas diberikan penjelasan, pemuda berkenaan ternyata tetap tidak berpuas hati. Katanya, “kalau encik Uthaya menerima kad sedemikian dari parti lain, harapan saya agar encik dapat kongsikan di dinding Facebook encik dengan ulasan-ulasan yang mempersendakan slogan-slogan parti mereka”.
Saya sudah mula tertanya-tanya apa maksud sebenar Syed Jay menulis segala komen tadi. Ternyata dia sudah berani memberi arahan kepada saya! Khususnya mengarahkan saya “mempersendakan slogan-slogan parti”.
Saya memilih untuk tidak melayannya kerana individu/sahabat seperti itu hanya akan berusaha bersungguh-sungguh menimbulkan konflik. Mujurlah rakan-rakan lain di Facebook tidak mempunyai fikiran sepertinya.
Sementara itu, beberapa lagi rakan tampil menyatakan bahawa mereka juga menerima kad ucapan (poskad) yang sama. Kesemuanya memaparkan maklumat pengundi secara terbuka di belakang kad.
Beberapa rakan Melayu pula mendedahkan bahawa mereka sebelum ini menerima poskad berupa ucapan Hari Raya Aidilfitri. Menurut seorang rakan: “Kad itu terang-terang mengandungi maklumat peribadi saya. Tak selamat langsung. Kalau ada sampul tu lainlah tapi yang ini hantar sebagai poskad sahaja.”
Demikian realiti di Malaysia pada masa kini. Maklumat peribadi pengundi yang diamanahkan kepada SPR sudah boleh dimiliki oleh parti-parti politik. Lebih malang apabila parti-parti politik dengan berani membuat kempen memancing undi secara terang-terangan bagaikan SPR hanya patung yang tidak ada apa-apa kuasa.
Kita nantikan kalau-kalau ada sebarang reaksi daripada SPR berhubung isu ini sebelum parti-parti politik dan politikus terus bermaharajalela dan memijak kepala SPR.
* Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal syarikat Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya yang ditubuhkan pada Mac 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan