"Kita setuju dengan segala objektif yang dikemukakan. Cuma kami bimbang tentang bagaimana pelaksanaan itu akan dilakukan. Itu yang kita ragui.
"Memandangkan sebelum ini, kerajaan banyak menghabiskan duit untuk pendidikan, tetapi taraf pendidikan kita yang terendah," kata anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, salah seorang anggota panel itu.
Dalam sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini, Pua berkata, selain mengkaji semula, mereka juga akan menghantar laporan kajian pelan itu selewat-lewatnya pada Oktober depan.
Menurut Pua lagi, kajian semula terhadap pelan pendidikan itu penting bagi memastikan negara mempunyai taraf pendidikan yang kompatetif menjelang 2015.
Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.
Setuju kenyataan Najib
Pelan tersebut dihasilkan dalam satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Sementara itu, Pua berkata, panel khasnya juga turut menuntut menteri pelajaran supaya mengemukakan kesemua dokumen berkaitan pelan tersebut.
"Kami juga mahu melihat laporan pelan itu secara terperinci. Bukan nak tengok kenyataan media. Tapi nak laporan penuh proses awal pelan ini," kata Pua lagi.
Laporan yang diminta oleh panel khas ini ialah laporan daripada Unesco pada April 2011, Laporan Bank Dunia sidang pertama 2010 dan laporan daripada panel bebas dari Malaysia dan antarabangsa.
Sehubungan itu, Pua berkata, beliau bersependapat dengan Najib untuk tidak mempolitikkan pelan pendidikan ini.
Sebaliknya, katanya, tujuan untuk mengkaji semula pelan tersebut dibuat bagi membantu kerajaan dalam proses mendapatkan pelan pendidikan negara yang lebih baik.
"Kami disini pun tidak mahu mempolitikkan perkara ini tetapi untuk membantu menambah baik pelan yang sedia ada demi masa depan pendidikan negara yang lebih terjamin," kata Pua lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan