Rabu, 26 September 2012

Hina Nabi: PAS serah memo bantah majalah Perancis

Nazri Abdullah,


KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyerahkan satu memorandum kepada kedutaan Perancis membantah tindakan sebuah majalah Perancis menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

Karikatur biadap itu disiarkan majalah mingguan tempatan, Charlie Hebdo, beberapa hari selepas bantahan umat Islam di seluruh negara kerana memprotes filem Innocence of Muslims.

Penyerahan memorandum itu diketuai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bersama Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, setiausaha lajnah itu Mohamad Faiz Mat Nawi dan pembantu kepada Mohamad, Tajuddin Osman.

Mereka dilihat masuk ke bangunan kedutaan kira-kira jam 11.45 pagi ini.

Bercakap kepada media selepas itu, Mohamad mengecam kebiadaban majalah itu yang tidak menghormati kesucian agama lain yang bertindak atas dasar kebebebasan bersuara.

"Kita melihat mereka seperti tidak mahu berhenti menghina Nabi dan agama Islam. Islam mengajar kami untuk tidak menghina agama orang lain.

"Kebebsan bersuara jangan sampai hina agama lain. Jika Jesus dihina, kami juga akan bantah," katanya.

Penerbitan karikatur terbaru ini juga katanya terus menyemarakkan kemarahan umat Islam yang belum reda dengan isu filem Innocence of Muslims.

Jika tidak dihentikan, ianya bakal mengulangi insiden yang berlaku di Libya yang menyebabkan duta Amerika meninggal dunia akibat bantahan rakyat.

"Eropah menggambarkan Islam sebagai pelampau, penghinaan ini memberi lesen kepada pelampau untuk bertindak," katanya.

Sementara itu, Syed Azman pula berkata, PAS mendesak Duta Perancis untuk menyampaikan pendirian PAS ini kepada Presiden Perancis.

Beliau juga turut menyatakan kemarahan umat Islam di negara ini di atas tindakan majalah Perancis itu yang cuba mempermainkan dan menghina Nabi Muhammad SAW.

"Kita mengingatkan, jangan sesekali menyentuh sensitiviti umat Islam dengan penghinaan sebegini.

"Umat Islam seluruh dunia akan mempertahankan kesucian agama ini dengan apa jua sekalipun," katanya.

Beliau turut mengingatkan tindakan itu juga bakal mengundang kekeruhan hubungan antara umat Islam dengan bangsa lain.

Tiada ulasan: