Jumaat, 7 September 2012

Enam NGO laporan polis FB ugut PM

Wartawan Sinar Harian

KUANTAN - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa mengeluarkan komen berunsur ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

NGO berkenaan terdiri daripada Pergerakan Pemuda Umno Paya Besar, Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Kuantan (MBFMWK), Majlis Belia Daerah, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuantan, Persatuan Belia Kuantan dan Semangat Bakti.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan (MBFWK), Ahmad Saiful Romli berkata, pemilik akaun laman sosial yang menggunakan nama ‘Aqyun Firdani’ itu perlu disiasat pihak berkuasa kerana status yang ditulis akan mengganggu gugat keamanan negara apabila rakyat mula berani mengugut pemimpin negara.

Menurutnya, status yang berbaur ugutan bunuh itu tidak wajar ditulis oleh seorang warganegara yang baik.

"Dia tidak layak menjadi warganegara kerana tidak menghormati pemimpin negara, petualang sebegini perlu dikenakan tindakan setimpal seperti lucut kewarganegaraan.

"Kita juga bimbang jika media baru seperti Facebook dan laman blog dijadikan sebagai medium mencemuh pemimpin," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Paya Besar, Mohd Zulkifli Samsudin berkata, kenyataan pemilik laman sosial itu yang mengancam pemimpin negara dilihat sebagai kebudak-budakan dan mahu pihak polis melakukan siasatan secara mendalam.

Katanya, ia akan menjadi pengajaran kepada pihak lain yang cuba menimbulkan kekecohan.

"Kita tidak boleh menganggap ugutan ini sebagai perkara remeh kerana bimbang ia akan menjadi budaya kepada pihak yang tidak berpuas hati.

"Justeru, pihak berkuasa terutama polis harus telus dalam melakukan siasatan agar pemimpin negara tidak dihina sewenang-wenangnya," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah, Md Jamil Pauzi pula melahirkan rasa kesal apabila generasi belia sekarang terlalu mengikut emosi dalam bersuara.

Tiada ulasan: