Isnin, 19 Mac 2012

Wanita Suara Perubahan, 6 tuntutan dipinta

Roketkini.com



PETALING JAYA: Beribu-ribu wanita termasuk lelaki prihatin dari segenap lapisan masyarakat membanjiri Padang Astaka di sini semalam bagi menyuarakan hak wanita menuntut perubahan negara.

Perarakan secara aman sempena hari Wanita Antarabangsa membawa tuntutan:

1. Kerajaan yang bebas dari rasuah

2. Gaji yang berpatutan

3. Kualiti kehidupan yang lebih baik

4. Hentinya keganasan berasaskan gender/jantina

5. Permansuhan Akta Perhimpunan Aman yang menyekat hak rakyat

6. Pilihan raya yang bebas dan bersih

Ketua Wanita DAP, Chong Eng yang hadir di situ berkata bahawa beliau datang memberi sokongan terhadap 6 pekara yang dituntut kumpulan tersebut.

“Dari dulu lagi DAP dalam setiap manifesto ada dasar-dasar yang bertujuan memartabatkan wanita. Ini juga sama dengan Pakatan Rakyat.

“Kami dari DAP dan Pakatan datang menyokong kerana inisiatif Wanita Suara Perubahan adalah hasil usaha kaum wanita dari kalangan rakyat prihatin,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa wanita harus tahu mereka mempunyai kuasa dan serta hak mengundi untuk memastikan suara mereka didengar oleh semua pihak, termasuk kerajaan dan parti politik.

Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok pula berkata, beliau hadir untuk sebuah perubahan dan amat gembira melihat ramai wanita muda yang bersama-sama berkumpul menuntut hak semalam.

“Saya amat gembira melihat wanita-wanita keluar menuntut satu perubahan terhadap dasar-dasar kerajaan. Wanita-wanita tidak seharusnya hanya mengambil kisah hidup mereka sahaja tetapi juga ada satu peranan yang amat penting dalam menuntut apa-apa perubahan,” katanya.

Wakil penganjur, Jana Arumugam berkata, inilah kali pertama para wanita dari kampung dan estet keluar dan diraikan kerana selama ini suara mereka tidak kedengaran dan sering tersingkir.

“Kalau kita lihat di Parlimen, masih ada Ahli Parlimen yang sexist dan mereka langsung tidak menghormati wanita. Bila kita adakan satu perhimpunan sebegini diharap mereka akan sedar dan mereka berubah,” ujarnya.

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sebagai lelaki beliau faham bahawa wanita penting, relevan dan perlu diberi keperihatinan yang sewajaranya bukan sahaja dalam bidang politik tetapi dalam semua bidang.


Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Adun Pandamaran, Ronnie Liu turut mengulas bahawa baru-baru ini kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah memperuntukan sebahagian daripada geran yang berjumlah RM300 juta untuk program-program yang memperkasakan kaum wanita.

“Kerajaan Selangor melihat pemerkasaan wanita dari segenap aspek. Kalau kerajaan Selangor lihat bahawa mereka perlukan dana, kita akan beri dana. Kalau mereka perlukan bimbingan dan latihan, kita akan beri.

“Baru-baru ini sahaja kami telah lancarkan dana sejumlah RM5 juta bagi ibu-ibu yang menghantar anak mereka ke taska. Dan kerajaan Selangor kini dalam proses untuk melanjutkan program bantuan tersebut ke peringkat tadika,” tambah beliau.

Perhimpunan aman itu berjalan dengan baik sejak 2 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: