SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah gembira dengan kejayaan negeri itu yang ditadbir Pakatan Rakyar (PR) memacu ekonominya menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran 22 peratus.
Demikian titah baginda di majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) kali ke-12 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
“Beta difahamkan ekonomi Selangor terus merekodkan pertumbuhan positif tahun 2011 walaupun dengan persekitaran yang sangat mencabar. Keluaran Dalam Negara Kasar negeri masih berjaya dicatat pada 5.9 peratus dibantu peningkatan dalam pengunaan domestik dan pelaburan swasta merangsang eksport ‘output’ dan komoditi.
“Tahun 2012 dianggar merekodkan prestasi yang sederhana dengan KDNK sekitar 5.3 peratus sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana,” titahnya.
Sehubungan itu, baginda menyeru supaya kerajaan negeri memainkan peranan lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing ke dalam negeri.
“Semua Ahli Dewan Negeri perlu memberi kerjasama lebih erat dan bekerjasama dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri.
“Perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi menjayakan usaha-usaha murni untuk kebajikan seluruh rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri,” titahnya lagi.
Terdahulu, baginda bangga kejayaan Selangor dengan catatan pelaburan pada 2011 sebanyak RM8.74 bilion dengan 263 projek berjaya dimajukan sekaligus membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih RM15,000 rakyat Selangor di pelbagai sektor pekerjaan.
Sementara itu, baginda turut menyarankan semua wakil rakyat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tanpa melibatkan soal peribadi.
“Beta berkenan semua wakil rakyat memikul tanggungjawab yang diberikan rakyat berbahas secara berhemah dan membawa suara akar umbi merentasi agama, kaum, politik dan sosial.
“Setiap perkara yang mahu dibahaskan termasuk pengenalan, pindaan kelulusan atau penghapusan sebarang enakmen perlu dikaji dan dibahaskan secara mendalam dan harmoni serta penghujahan harus intelektual dan bukan emosi dan tidak bercanggah dengan undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang.
Dalam pada itu, baginda berharap kerajaan negeri pimpinan PR bersedia menghadapi cabaran demi mewujudkan kerajaan pintar.
“Kerajaan Selangor perlu menjadi sebuah kerajaan pintar atau ‘smart government’ yang mampu memenuhi amanah dan mandat rakyat dengan sebaik-baiknya.
“Cara kerja kerajaan perlu mengambil manfaat daripada teknologi, inovasi dan penemuan-penemuan terkini yang releven dari seluruh negara,” titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan